Sabtu, 8 Oktober 2016 | 1:03pm

Lebih 30,000 sambut Hari Sukan Negara di Putrajaya

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak melepaskan peserta kayuhan basikal sempena Hari Sukan Negara 2016 di Presint 2, Putrajaya, hari ini. - Foto BERNAMA
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak melepaskan peserta kayuhan basikal sempena Hari Sukan Negara 2016 di Presint 2, Putrajaya, hari ini. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Lebih 30,000 peserta menghangatkan sambutan majlis pelancaran Hari Sukan Negara (HSN) 2016 peringkat kebangsaan yang berlangsung di sepanjang jalan Presint 2, sebentar tadi.

Acara bermula dengan majlis perasmian yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Majlis itu turut gegak gempita dengan kehadiran wira dan wirawati Olimpik serta Paralimpik yang turut hadir bagi menyatakan sokongan kepada inisiatif Kementerian Belia dan Sukan menjadikan Malaysia sebagai sebuah 'Negara Bersukan'

Antaranya termasuklah jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei, beregu negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan ratu terjun negara Pandalela Rinong.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata dengan sambutan yang menggalakkan diterima pada hari pertama, beliau berharap sasaran untuk 7 juta peserta mengambil bahagian dalam HSN akan tercapai.

"Selepas ini lebih 20,000 aktiviti lagi akan berlangsung serentak di seluruh negara untuk hari ini dan esok.

"Apapun jumlah sebenar penyertaan hanya akan diumumkan esok memandangkan saya perlu melihat laporan pemantauan yang sedang dijalankan sekreteriat," katanya pada sidang media HSN.

Berita Harian X