Ahad, 2 Oktober 2016 | 1:05pm

Pencak silat sumbang 3 emas di Sukan Pantai Asia

PEMENANG pingat emas negara bersama jurulatih pasukan pencak silat.
PEMENANG pingat emas negara bersama jurulatih pasukan pencak silat.

DANANG, Vietnam: Malaysia menamatkan cabaran di Sukan Pantai Asia kali kelima di sini dengan menduduki tempat kelapan keseluruhan daripada 45 negara Asia.

Kontinjen negara memungut tiga emas, enam perak dan tiga gangsa menjadikan Malaysia berkedudukan negara ketiga terbaik di peringkat Asia Tenggara.

Semua pingat emas negara disumbangkan sukan pencak silat yang berjaya membawa pulang tiga pingat emas, empat perak dan satu gangsa.

Pesilat negara yang juga Olahragawan 2015, Mohd Al Jufferi Jamari, sekali lagi mengekalkan rekod tanpa kalah di peringkat antarabangsa apabila memenangi pingat emas dalam kategori E putera.

Dua lagi emas sukan pencak silat disumbangkan pesilat kelas C puteri, Siti Zubaidah Che Omar serta gandingan ganda putera, Mohd Taqiyuddin Hamid dan Rosli Mohd Sharif.

Sukan Pantai Asia kali ini disertai 4,500 atlet membabitkan 21 acara dengan Malaysia menghantar 75 atlet untuk enam acara.

Acara yang disertai Malaysia ialah pencak silat, sepak takraw, woodball, pantaque, kabadi dan muay thai.

Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Tan Sri Dr Mohd Ali Rustam, ketika ditemui di sini berkata, pencapaian pasukan silat di sini sangat penting sebagai persediaan ke Sukan SEA 2017 dan Sukan Asia 2018.

"Silat sudah diiktiraf Majlis Olimpik Asia (OCA) dan penyertaan sukan ini untuk kali pertama di Sukan Asia tahun hadapan memberi peluang kepada Malaysia untuk meraih pingat emas.

"Tiga emas di sini membuktikan kita ada peluang cerah di Sukan Asia kerana semua negara kuasa besar Asia bertanding di sini. Tentu Malaysia dilihat sangat berpotensi nanti.

"Peluang pencak silat di Sukan Sea juga kelihatan cerah tetapi perlukan lebih sokongan pelbagai pihak untuk melancarkan persiapan," katanya.

Mohd Ali berkata, dengan hanya pencak silat menyumbangkan pingat di sini, sewajarnya semua pihak membuka mata terhadap prospek pingat yang bakal disumbangkan menerusi sukan ini di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Mohd Al Jufferi berkata, berdasarkan prestasi di sini, Malaysia sangat berpeluang untuk meraih banyak pingat emas di Sukan SEA di Kuala Lumpur tahun depan.

"Dengan persediaan terhad bermain di pantai, kami sudah membuktikan mampu bawa pulang tiga pingat emas. Ini memberi satu isyarat kepada negara lain yang Malaysia sangat serius untuk menggegarkan Sukan Sea dan Asia," katanya.

Berita Harian X