Isnin, 26 September 2016 | 11:50pm

Malaysia menang perak, gangsa saingan boling Asia

KUALA LUMPUR: Skuad wanita Malaysia menampilkan aksi terpuji apabila meraih pingat perak dalam acara berpasukan pada Kejohanan Tenpin Boling Asia ke-24 di Pusat Boling SCAA, Hong Kong, pada Isnin.

Diperkuatkan Shalin Zulkifli, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Victoria Chin, Esther Cheah dan Sin Li Jane, skuad Malaysia mengekalkan momentum untuk menduduki tempat kedua dengan keseluruhan 6,366 mata.

Juara bertahan yang juga pendahulu saingan itu semalam, Korea Selatan hanya 43 mata di hadapan skuad kebangsaan, sekali gus mengekalkan kejuaraan itu.

Korea Selatan yang diketuai Jung Da Wun, Baek Seung Ja, Hong Hae Ni, Son Hye Rin dan Jeon Eun Hee menamatkan saingan tersebut dengan mengutip keseluruhan 6,409 mata.

Pasukan Singapura yang dibarisi Joey Yeo, Geraldine Ng, Jasmine Yeong-Nathan, Bernice Lim dan Daphne Tan meraih pingat gangsa selepas mengumpul 6,108 mata.

Dalam pada itu, Esther memenangi pingat gangsa kategori All-Events wanita selepas mengutip 5,011 mata, manakala Syaidatul Afifah di kedudukan kelima menerusi 4,965 mata, sementara Li Jane di tempat keenam dengan 4,915 mata.

Shalin pula di tangga ke-10 selepas mengutip 4,896 mata, manakala Victoria di kedudukan ke-12 dengan 4,869 mata.

Dalam kategori lelaki, skuad negara bangkit daripada aksi kurang memberangsangkan apabila melonjak daripada kedudukan kesembilan ke tempat ketiga dengan melakukan 1,082 jatuhan pin.

Adrian Ang yang menggantikan Zulmazran Zulkifli di blok kedua dalam saingan hari ini, bersama-sama Muhammad Nur Aiman Muhammad Khairuddin, Muhammad Rafiq Ismail, Timmy Tan dan Syafiq Ridhwan Abdul Malek mempamerkan aksi terbaik untuk meraih pingat gangsa selepas mengutip keseluruhan 6,275 mata.

Pendahulu semalam, Jepun yang dibarisi Tomoyuki Sasaki, Yuhi Shinbata, Takuya Miyazawa, Shogo Wada dan Shusaku Asato mengekalkan penguasaan mereka untuk meraih pingat emas setelah mengumpul 6,634 mata.

Pasukan Australia yang terdiri daripada George Frilingos, Jayden Leming, Ashley Warren, Lachland Merchant dan Sam Cooly pula memenangi pingat perak selepas mencatat 6,329 mata.

Dalam kategori All-Events lelaki, pemenang pingat emas acara beregu dan trio, Michael Mak menyumbangkan emas ketiga buat Hong Kong selepas mengungguli kedudukan dengan kutipan 5,378 mata, diikuti Yuhi Shinbata di tempat kedua dengan mengumpul keseluruhan 5,301 mata.

Seorang lagi pemain Hong Kong, Wu Siu Hong yang menampilkan aksi membanggakan sebelum blok kedua, bagaimanapun sekadar meraih pingat gangsa selepas mengutip keseluruhan 5,258 mata.

Pemain kebangsaan, Timmy hanya menduduki tempat kelima dengan keseluruhan 5,238 mata, diikuti Syafiq Ridhwan (5,207 mata) dan Muhammad Rafiq yang mengumpul 5,150 mata.

Sebanyak 16 pemain terbaik lelaki dan wanita akan berentap dalam saingan akhir Masters pada esok serta Rabu ini, dan tiga peserta teratas bagi setiap kategori akan mara ke aksi akhir stepladder. - BERNAMA

Berita Harian X