Sabtu, 24 September 2016 | 11:49am

TMJ belum minat jadi presiden FAM

TUNKU Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika sidang media di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. - Foto Hairul Anuar Rahim
TUNKU Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika sidang media di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. - Foto Hairul Anuar Rahim

JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim semalam menyatakan belum berminat memegang jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bakal dikosongkan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada tahun depan.

"Apabila orang bertanya tentang jawatan Presiden FAM, saya akui 50-50 kerana saya tahu perubahan yang boleh dibuat tetapi pada masa yang sama, saya tidak mahu memegang jawatan itu kerana komitmen dengan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Kerana hanya penyokong JDT sahaja, tidak kisah dari Kedah ke Perlis sampai ke Sabah yang hargai perubahan yang saya buat. Namun buat ketika ini saya tetap mahu selesaikan tugasan di Johor," kata baginda di sini, semalam.

Akhbar ini semalam, melaporkan mengenai pemilihan Tunku Ismail sebagai tokoh popular untuk menerajui FAM, mengikut undian yang dilakukan oleh undian BH Online bagi tempoh 24 jam.

Selain TMJ, dua lagi nama yang turut disenaraikan dalam undian itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dan Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Datuk Seri Idris Jalan.

Mengulas lanjut, Tunku Ismail tidak menolak betapa baginda ingin melihat dulu perancangan dan polisi yang bakal dilaksanakan oleh FAM sebelum membuat ulasan lanjut.

"Kita tengok apa penyelesaian yang bakal dilakukan selain pandangan ahli-ahli gabungan FAM. Ada yang berjumpa dan cuba memujuk saya. Tetapi nak tengok apa perancangan dan polisi yang bakal dibuat.

"Malah saya juga ingin lihat perubahan perlembagaan yang perlu diubah suai kerana perlembagaan yang sedia ada tampak sudah lapuk," katanya sambil menegaskan tidak berdepan masalah memberi kerjasama kepada sesiapa saja yang menjadi presiden FAM.

Katanya, kerjasama diberi selagi seseorang itu mampu berkhidmat dan memberi manfaat kepada organisasi berkenaan dan bola sepak tanah air, selain bersikap bebas dan adil serta menjaga kebajikan kelab dan persatuan negeri.

Tunku Ismail juga berpandangan betapa komitmen baginda terhadap JDT masih diperlukan kerana kelab itu belum lagi layak bersaing pada aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Selain itu, ia juga bagi memastikan segala perancangan terutama pembinaan stadium baharu dan juga kewujudan akademi bola sepak yang canggih belum siap sepenuhnya.

Berita Harian X