Selasa, 13 September 2016 | 11:16pm
PESAKA mengintai tiga pingat emas pada edisi kelima Sukan Pantai Asia di Da Nang, Vietnam. - Foto hiasan/ihsan laman web Pesaka
PESAKA mengintai tiga pingat emas pada edisi kelima Sukan Pantai Asia di Da Nang, Vietnam. - Foto hiasan/ihsan laman web Pesaka

Pesaka sasar tiga emas di Vietnam

KUALA LUMPUR: Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) mengintai tiga pingat emas pada edisi kelima Sukan Pantai Asia di Da Nang, Vietnam dari 24 September hingga 3 Oktober ini.

Setiausaha Agung Pesaka Datuk Megat Zulkarnain Omardin yakin sasaran berkenaan mampu dicapai memandangkan badan induk itu bakal menghantar barisan pesilat terbaik daripada Program Podium dan Program Kita Juara Sukan SEA 2017.

Beliau menegaskan pesilat negara tidak sepatutnya berdepan masalah meraih pingat emas terutama Olahragawan Kebangsaan 2015, Mohd Al Jufferi Jamari yang diberi penghormatan selaku pembawa Jalur Gemilang pada temasya sukan berkenaan.

"Ada 14 acara silat, namun kita dibenarkan mengambil bahagian dalam sembilan acara termasuk tiga acara wanita, dan pasukan yang bakal dihantar adalah terbaik kerana tiga atlet daripada Program Podium.

"Saya yakin pasukan ini akan bawa kejayaan dan saya dah lihat keputusan mereka pada kejohanan di Belanda, baru-baru ini, di mana mereka muncul juara keseluruhan. Kita berada di landasan terbaik untuk mencipta satu lagi kejayaan," katanya.

Megat Zulkarnain ditemui pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang oleh Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria kepada Ketua Kontinjen ke temasya sukan berkenaan, Chan Foong Keong di Wisma OCM, hari ini.

Mengulas lanjut, Megat Zulkarnain yang juga Naib Presiden MOM menjelaskan temasya sukan di Vietnam itu merupakan kejohanan pemanas badan sebelum pesilat negara menyertai Kejohanan Silat Dunia di Bali, Indonesia pada Disember.

Katanya pemenang pingat emas Sukan SEA Singapura 2015, Siti Rahmah Mohamed Nasir tidak akan menyertai Sukan Pantai Asia kali ini kerana belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan tetapi yakin pesilat lain berada di prestasi terbaik untuk memburu kejayaan.

Malaysia akan menghantar 70 atlet dan 33 pegawai untuk menyertai enam acara sukan iaitu kabbadi, muay Thai, pencak silat, petanque, sepak takraw dan woodball pada Sukan Pantai Asia 2016. - BERNAMA

Berita Harian X