Ahad, 4 September 2016 | 5:44pm

Golf: Shaaban idam ke Olimpik sebagai jurulatih

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyerahkan replika cek kepada pemain golf negara Shaaban Hussin pada Kejohanan Golf Amal Pro-Am Shaaban Hussin di GGCC di Shah Alam, hari ini. - Foto Roslin Mat Tahir
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyerahkan replika cek kepada pemain golf negara Shaaban Hussin pada Kejohanan Golf Amal Pro-Am Shaaban Hussin di GGCC di Shah Alam, hari ini. - Foto Roslin Mat Tahir

SHAH ALAM: Biarpun masih belum pulih sepenuhnya daripada kemalangan ngeri lima bulan lalu, pemain golf negara Shaaban Hussin sudah memasang angan-angan untuk ke Sukan Olimpik.

Namun, impiannya itu terarah sebagai seorang jurulatih dengan misinya kini untuk mewujudkan sebuah akademi golf yang mampu melahirkan kelompok pemain yang akan beraksi di temasya terbesar dunia itu.

Malah, pemain berusia 36 tahun itu mengakui banyak tawaran sebagai jurulatih yang diterimanya terbaru daripada Kelab Golf dan Country Glenmarie, namun dia enggan memutuskannya sehingga 100 peratus pulih.

"Proses pemulihan saya ketika ini berjalan agak lancar, boleh katakan 75 peratus sudah pulih cuma sedang menunggu kaki palsu untuk siap dengan ia dijangka siap dalam tempoh lebih sebulan lagi.

"Selepas ini rancangan saya adalah untuk membuka akademi golf di Kelab Golf Seri Selangor (KGSS) tetapi sebolehnya tunggulah saya pulih sepenuhnya, mungkin dalam setahun lagi.

"Jika sebelum ini sasaran saya untuk ke Sukan Olimpik terhenti sekerat jalan, namun kini saya akan pergi dengan cara lain, ...mungkin sebagai jurulatih kepada anak-anak buah saya," katanya selepas berakhir Kejohanan Golf Amal Pro-Am Shaaban Hussin di GGCC di sini.

Golf amal yang dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak itu berjaya mengumpul dana sebanyak RM407,000 untuk diserahkan kepada Shaaban disamping dana tambahan kerajaan sebanyak RM93,000 bagi menggenapkan nilai sumbangan kepada RM500,000.

Kejohanan ini turut mendapat sokongan dari rakan-rakan seperjuangan Shaaban dahulu, antaranya Danny Chia, R Nachimutu dan Kamarul Bahrin.

Mengulas lanjut mengenai dana terbabit, Shaaban yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA 2001, berkata dia akan menggunakan untuk membuka akademi dan juga bagi menampung kos membesarkan dua anaknya.

Nama: Shaaban Hussin

Tarikh Lahir: 16 Jun 1980

Umur: 36 tahun

Tempat Lahir: Alor Setar, Kedah

Bertukar Pro: 2003

Berita Harian X