Sabtu, 27 Ogos 2016 | 9:48pm

Spurs, Liverpool kongsi mata

PEMAIN Liverpool, Sadio Mane (kiri) cuba dihalang pemain Tottenham, Jan Vertonghen pada perlawanan Liga Perdana Inggeris, di White Hart Lane, sebentar tadi. - Foto REUTERS
PEMAIN Liverpool, Sadio Mane (kiri) cuba dihalang pemain Tottenham, Jan Vertonghen pada perlawanan Liga Perdana Inggeris, di White Hart Lane, sebentar tadi. - Foto REUTERS

LONDON: Tottenham Hotspurs bangkit daripada ketinggalan untuk mengutip satu mata berharga selepas seri 1-1 bertemu Liverpool di White Hart Lane, sebentar tadi.

Ketinggalan pada babak pertama menerusi jaringan James Milner menerusi penalti di minit ke-43, Spurs menyamakan kedudukan pada minit ke-72 hasil jaringan Danny Rose.

Perlawanan tampak seimbang sebelum gol pembukaan Liverpool yang diperoleh selepas Erik Lamela menjatuhkan Roberto Firmino dengan Milner mudah menyempurnakan tugasnya mengatasi Michel Vorm.

Sebelum jaringan itu, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun dihampakan dengan penyudah yang tumpul termasuk cubaan penyerang Liverpool, Sadio Mane di awal perlawanan.

Pada minit ke-19, tindakan Vorm mengasari Mane hampir menghadiahkan penalti kepada Liverpool.

Ketinggalan pada babak pertama, Spurs menggandakan usaha dan ia berhasil pada minit ke-72 menerusi gerakan oleh Erik Lamela dengan Eric Dier melakukan hantaran lintang tepat ke kaki Rose yang disempurnakan menerusi rembatan cantik mengatasi Simon Mignolet.

Keputusan menyaksikan Spurs kekal tanpa kalah selepas mengharungi tiga perlawanan musim ini.

Untuk rekod, pertemuan kedua-dua pasukan pada musim lalu di White Hart Lane berakhir dengan keputusan seri 0-0. - Agensi

Berita Harian X