Sabtu, 27 Ogos 2016 | 2:29pm

Kenya tahan tiga pegawai NOCK angkara cuai di Rio

PELARI Wesley Korir, dari Kenya (kanan) menghulurkan botol air kepada rakan senegara, Eliud Kipchoge pada acara maraton lelaki di Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil. - Foto AP
PELARI Wesley Korir, dari Kenya (kanan) menghulurkan botol air kepada rakan senegara, Eliud Kipchoge pada acara maraton lelaki di Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil. - Foto AP

NAIROBI (KENYA): Polis menahan tiga pegawai Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Kenya (NOCK) berhubung siasatan ke atas pengurusan kontinjen atlet negara itu ke Sukan Olimpik Di Rio, baru-baru ini.

Setiausaha Agung NOCK, Francis K Paul, kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Muthaiga sejak semalam untuk membantu siasatan.

Jurucakap polis yang enggan nama disiarkan itu turut mengesahkan penahanan Chef de Mission Kenya, Stephen Arap Soi, dan timbalannya, James Chacha.

Polis menahan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Jomo Kenyatta sejurus mereka tiba dari Brazil bersama kontinjen Kenya, semalam.

Mereka ditahan selepas aduan atlet negara itu yang membuat laporan polis berhubung kesulitan mereka mencari penginapan sesuai selepas perkampungan sukan ditutup apabila temasya itu tamat Ahad lalu.

Menteri Belia dan Sukan Kenya, Hassan Wario juga membidas NOCK dengan mendakwa kecuaian pegawai berkenaan menjatuhkan moral dan semangat atlet negara berkenaan.

Kontinjen Kenya dipalit banyak masalah di Rio antaranya termasuk masalah doping, hilang tiket penerbangan, kelayakan atlet selain hubungan tidak baik sesama atlet dan pegawai sejak mula.

masalah diburukkan lagi dengan kehilangan alat sokongan atlet yang dibekalkan penaja mereka.

Begitupun, atlet Kenya mempamerkan kesungguhan di Rio dengan memenangi enam pingat emas, enam perak dan satu gangsa. - AP

Berita Harian X