Rabu, 17 Ogos 2016 | 8:02am

Hadiah untuk rakyat Malaysia - Azizulhasni

AZIZULHASNI, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu bersama pingat gangsa yang dimenangi. - Foto Rosli Rahmat
AZIZULHASNI, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu bersama pingat gangsa yang dimenangi. - Foto Rosli Rahmat

RIO DE JANEIRO: Jaguh lumba basikal negara, Azizulhasni Awang, mendedikasikan pingat gangsa yang dimenanginya dalam acara keirin di Velodrom Olimpik Rio, sebentar tadi kepada seluruh rakyat Malaysia.

Pelumba berusia 28 tahun itu mengakui, gangsa yang diraih itu sememangnya bersejarah kerana ini pertama kali pelumba basikal negara memenanginya di Sukan Olimpik.

"Namun, saya harus akui kemenangan ini tidak tercapai tanpa sokongan dan doa daripada seluruh rakyat Malaysia.

"Jadi, saya hadiahkan pingat ini kepada semua dan saya harap rakyat Malaysia bangga serta gembira," katanya.

Selepas gagal di Beijing 2008 dan London 2012, Azizulhasni yang lebih mesra dipanggil Jijoe akhirnya meraih gangsa sekali gus melakar sejarah menjadi pelumba basikal pertama negara memenangi pingat di Sukan Olimpik.

Gangsa yang dimenangi pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu juga adalah pingat kedua yang diraih kontinjen negara selepas penerjun negara, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoon memenangi perak dalam acara terjun 10 meter platform seirama wanita.

Perlumbaan yang dua kali dibatalkan selepas pelumba memecut lebih awal sebelum motor pengiring keluar dari trek itu dimenangi Jason Kenny dari Britain, pingat emas keduanya selepas memenangi acara pecut.

Tempat kedua pula diraih pelumba Belanda, Matthijs Buchli.

Berita Harian X