Sabtu, 6 Ogos 2016 | 10:29pm

Malaysia, Sri Lanka ke final Bola Jaring Asia

BANGKOK: Malaysia mara ke perlawanan akhir Kejohanan Bola Jaring Asia ke-10 selepas menewaskan Hong Kong 35-34 dalam aksi separuh akhir yang mendebarkan, di sini, hari ini.

Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia, Datuk Suraya Yaakob yang hadir menyaksikan perlawanan itu nyata lega apabila keputusan menyebelahi skuad negara dalam perlawanan yang sengit itu.

"Ia adalah perlawanan yang sengit dan mendebarkan kerana kita berjaya menewaskan Hong Kong dengan satu jaringan sahaja. Tahniah kepada pemain, jurulatih dan pegawai," katanya kepada Bernama selepas perlawanan itu.

Malaysia kerap menewaskan Hong Kong dalam perlawanan sebelum ini, tetapi pasukan lawan itu menampilkan persembahan meyakinkan sehingga menjadikan perlawanan separuh akhir tersebut begitu sengit, katanya.

Menurut Suraya, kejayaan negara memasuki perlawanan akhir kejohanan itu bakal memperbaiki kedudukannya dalam ranking di Asia, selain persediaan terbaik menghadapi Sukan SEA di Kuala Lumpur tahun depan.

Suraya berkata, Malaysia akan bertemu Sri Lanka dalam perlawanan akhir esok, selepas pasukan dari Asia Selatan itu menewaskan Singapura 36-30 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

"Sri Lanka pasti akan bermati-matian untuk menjuarai kejohanan ini selepas hanya mampu muncul naib juara pada edisi lalu.

"Kita juga akan berusaha sebaik mungkin untuk membawa pulang kejuaraan ini," kata Suraya.

Perlawanan akhir akan berlangsung di Gimnasium Chanthanayingyong, di sini. - BERNAMA

Berita Harian X