Selasa, 2 Ogos 2016 | 11:11pm

Malaysia berpeluang cerah mara separuh akhir Piala AFF

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaysia berpeluang cerah mara ke separuh akhir kejohanan bola sepak Piala AFF 2016 yang akan membuka tirai pada 19 November.

Dalam undian berlangsung di Yangon, Myanmar malam ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama-sama naib juara Sukan SEA 2015, Myanmar, Vietnam dan pemenang pusingan kelayakan, melibatkan pasukan Brunei, Timor Leste, Kemboja dan Laos.

Juara Piala AFF 2014, yang juga pasukan pilihan, Thailand pula diundi dalam Kumpulan A bersama-sama Filipina, Singapura dan Indonesia.

Proses pengundian dikendalikan Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Datuk Aizuddin Ahmad.

Sementara, Thailand bakal berdepan saingan getir berdepan lawan yang agak mantap - Singapura dan Indonesia pada kejohanan tersebut.

Myanmar dan Filipina dipilih menjadi tuan rumah bersama Piala AFF kali ini.

Dalam pada itu, pengendali skuad Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee berkata walaupun berada dalam kumpulan mempunyai kekuatan seimbang, beliau percaya Myanmar dan Vietnam akan melakukan persiapan awal untuk saingan kali ini.

"Saya percaya pasukan Myanmar akan bersiap sedia lebih awal untuk menjadi pasukan pilihan, begitu juga Vietnam untuk jadi pasukan paling konsisten di Asia Tenggara. Dua pasukan ini adalah pencabar kita," katanya.

Beliau berkata, walaupun peluang skuad negara cerah mara ke separuh akhir, pasukan Harimau Malaysia perlu membentuk pasukan yang mantap untuk kejohanan itu.

"Saya harap kita dapat membuat persediaan lebih rapi dengan menyenaraikan semua pemain utama," katanya.

Untuk rekod, skuad Harimau Malaya yang kini dikenali sebagai Harimau Malaysia pernah muncul juara Piala AFF pada edisi 2010 selepas menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2.

Pada 2014, Malaysia tewas di tangan Thailand menerusi agregat 3-4 selepas final kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil. - BERNAMA

Berita Harian X