Ahad, 24 Julai 2016 | 4:57pm

SUKMA: Eyin raih emas ketujuh wushu

ATLET wushu negara, Phoon Eyin beraksi dalam acara Qiangshu Wanita pada SUKMA ke-18 di SJK Chung Hua, No 3, Padungan, Kuching, hari ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
ATLET wushu negara, Phoon Eyin beraksi dalam acara Qiangshu Wanita pada SUKMA ke-18 di SJK Chung Hua, No 3, Padungan, Kuching, hari ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

KUCHING: Atlet wushu negara, Phoon Eyin dari Negeri Sembilan menampilkan aksi terpuji untuk meraih pingat emas dalam acara Qiangshu Wanita pada SUKMA ke-18 di SJK Chung Hua, No 3, Padungan, di sini, hari ini.

Atlet berusia 20 tahun itu mempamerkan persembahan yang memukau bagi memikat panel juri untuk menganugerahkan beliau pingat emas dengan kutipan 9.45 mata.

Tammy Tan Hui Ling dari Melaka dan peserta tuan rumah, Stephanie Ngu Chai Ern terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dan gangsa selepas masing-masing mengumpul 9.35 dan 9.33 mata.

Bercakap kepada pemberita, Eyin berkata beliau tidak menjangka meraih pingat emas ketujuh dalam penampilan keempat dan terakhirnya pada Sukma kerana peserta lain turut menampilkan prestasi yang baik, sambil beliau masih mengintai satu lagi emas dalam acara Jianshu Wanita, esok.

"Saya gembira meraih pingat emas walaupun berdepan tekanan daripada penyokong tuan rumah.

"Semua atlet sudah memberi persembahan yang baik tetapi apa yang penting bagi saya ialah sentiasa meningkatkan prestasi," kata Eyin, sambil mengesahkan beliau akan menyertai Kejohanan Wushu Asia ke-9 di Taoyuan, Taiwan pada September ini.

Untuk rekod, beliau meraih dua pingat emas pada setiap temasya sukan dwitahunan itu - 2010 di Melaka, 2012 (Pahang) dan 2014 di Perlis.

Berkongsi pandangan sama ialah atlet wushu Sarawak, Elvic Bong Qian Zheng yang gembira memenangi pingat emas pertama pada penampilan keduanya di SUKMA selepas menguasai acara Nangun Lelaki setelah mengutip 9.51 mata.

Low Jun Ying dari Negeri Sembilan dan peserta Melaka, Shi Shin Peng memenangi pingat perak dan gangsa selepas masing-masing mengumpul 9.49 dan 9.47 mata.

Pada Sukma 2014 di Perlis, Bong hanya memenangi pingat gangsa dalam acara Jiangshu.

"Saya berterima kasih kepada jurulatih, ibu bapa dan juga penyokong kerana sokongan padu mereka, dan beraksi di tempat sendiri memberi keyakinan kepada saya untuk melakukan yang terbaik," kata pelajar tingkatan lima Sekolah Tinggi Kuching, yang meraih pingat gangsa acara Changquan Lelaki, semalam.

Enam lagi pingat emas menjadi rebutan pada hari terakhir acara wushu esok, melibatkan acara Nandao Lelaki dan Wanita, Gunshu Lelaki dan Wanita serta Jianshu Lelaki dan Wanita. - BERNAMA

Berita Harian X