Khamis, 21 Julai 2016 | 12:48am

50 pasukan rebut futsal Piala Tengku Mahkota Pahang

TENGKU Hassanal Ibrahim Alam Shah (kiri) bersama sebahagian pemain selepas merasmikan Kejohanan Futsal Tertutup Piala Tengku Mahkota Pahang Siri Satu di di SUKPA Indera Mahkota, di Kuantan, hari ini. - Foto Asrol Awang
TENGKU Hassanal Ibrahim Alam Shah (kiri) bersama sebahagian pemain selepas merasmikan Kejohanan Futsal Tertutup Piala Tengku Mahkota Pahang Siri Satu di di SUKPA Indera Mahkota, di Kuantan, hari ini. - Foto Asrol Awang

KUANTAN: Sebanyak 50 pasukan berentap bagi merebut kejuaraan Kejohanan Futsal Tertutup Piala Tengku Mahkota Pahang Siri Satu di Kompleks Sukan Pahang (SUKPA) Indera Mahkota, di sini selama enam hari bermula hari ini.

Kejohanan kali pertama anjuran Persatuan Peniaga Melayu Bersatu Pahang (PPMBP) itu menawarkan hadiah wang tunai RM20,000 dan piala pusingan kepada pasukan juara .

Pengurus pertandingan, Mohd Hamidi Adnan berkata, penganjuran kejohanan itu bersempena menyambut hari ulang tahun keputeraan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, pada  26 Julai ini. 

Katanya, matlamat kejohanan lebih kepada melahirkan bakat baharu terutama mewakili kelab atau pasukan di Pahang selain menarik minat golongan muda kepada sukan futsal. 

"Pada kejohanan kali pertama ini, kita mengehadkan penyertaan membabitkan 50 pasukan walaupun mendapat sambutan daripada golongan muda di negeri ini. 

"Dengan menawarkan wang tunai RM20,000 ini, kita percaya bukan saja bakat baharu dapat dicungkil, malah bakal mewakili Pahang beraksi pada peringkat lebih tinggi," katanya. 

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian kejohanan yang disempurnakan anakanda Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah. 

Bagi pasukan yang muncul naib johan, mereka akan membawa pulang wang tunai RM10,000 dan pingat manakala tempat kedua akan meraih RM5,000 bersama pingat. 

Sehubungan itu, peminat sukan futsal terutama warga Kuantan dialu-alukan memeriahkan memeriahkan kejohanan itu bagi menggalakkan orang ramai bersukan sambil mengamalkan gaya hidup sihat.

Berita Harian X