Sabtu, 16 Julai 2016 | 12:19pm
ADAM menamatkan 21 pusingan ujian di kedudukan ke-23 terpantas dengan catatan terbaik 1 minit 30.089 saat, di Litar Sachsenring, Jerman semalam. - Foto fail
ADAM menamatkan 21 pusingan ujian di kedudukan ke-23 terpantas dengan catatan terbaik 1 minit 30.089 saat, di Litar Sachsenring, Jerman semalam. - Foto fail

Adam positif prestasi hari pertama GP Jerman

KUALA LUMPUR: Sesi ujian bebas Grand Prix (GP) di Litar Sachsenring, Jerman semalam disifatkan positif oleh penunggang Moto3 negara, Adam Norrodin sekali pun ia kali pertama dia berlumba di litar terbabit.

Pada sesi pertama di sebelah pagi yang berlangsung dalam keadaan basah dan cuaca sejuk, pelumba pasukan Drive7 SIC Racing itu menamatkan 21 pusingan ujian di kedudukan ke-23 terpantas dengan catatan terbaik 1 minit 30.089 saat.

Begitupun, ketika keadaan cuaca bertambah baik di sesi sebelah petang, jenteranya berlanggar dengan seorang lagi pelumba sekali gus hanya mampu melakukan 16 pusingan untuk berada di kedudukan ke-26 terpantas.

"Sesi latihan pertama berjalan baik bagi kami sekali pun ia litar yang baru bagi saya namun saya dapat rasai saya mempelajarinya dengan pantas," kata pelumba berusia 18 tahun itu.

"Saya mampu mendapat rentak yang baik dan merasa selesa dengan jentera. Saya merasa segar dalam minda dan positif ketika ini.

"Masa yang dicatat pada sesi kedua juga tidak banyak berbeza dengan pagi dan saya mampu meneruskan peningkatan. Namun ketika berbaki beberapa minit sebelum sesi kedua, saya dilanggar oleh (Romano) Fenati yang menamatkan ujian saya.

"Kami terlepas peluang untuk mencatat masa yang terbaik namun perasaan saya masih lagi baik menghadapi hari ini. Kini saya hanya perlu kekal bertenang dan fokus sekali lagi ketika kelayakan."

Dalam pada itu, seorang lagi pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi yang berlumba bersama pasukan Honda Asia menamatkan hari pertama di kedudukan ke-25 terpantas dengan catatan 1 minit 29.576 saat.

Pelumba Itali, Enea Bastianini turut menggunakan jentera Honda menguasai sesi ujian bebas Moto3 dengan catatan 1 minit 27.496 saat.

Bagi kelas Moto2, pelumba PETRONAS Raceline Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah tampil dengan aksi cukup positif selepas melakukan masa kelapan terpantas, 1 minit 25.928 saat.

Kelas Moto2 dikuasai seorang lagi pelumba Asia dari Jepun, Takaaki Nakagami yang berlumba dengan pasukan Honda Asia dengan catatan 1 minit 25.244 saat.

Berita Harian X