Khamis, 23 Jun 2016 | 4:03pm

Federer pasang impian tambah gelaran Wimbledon

AKSI Roger Federer ketika menentang Alexandar Zverev dari Jerman pada Jelajah ATP di Halle, Jerman pada 18 Jun lalu. - Foto AFP
AKSI Roger Federer ketika menentang Alexandar Zverev dari Jerman pada Jelajah ATP di Halle, Jerman pada 18 Jun lalu. - Foto AFP

LONDON: Juara tujuh kali Wimbledon, Roger Federer kembali ke Kelab All England dengan kariernya berada di persimpangan dan berdepan krisis keyakinan.

Jaguh Switzerland berusia 34 tahun itu yang memegang rekod 17 Grand Slam, tanpa sebarang kemenangan sejak Wimbledon 2012 dan boleh disifatkan sedang mengharungi tahun paling sukar dalam kariernya.

Kecederaan memaksanya menarik diri daripada Terbuka Perancis, bulan lalu, sekali gus menamatkan rentetan 65 penampilan yang dibuatnya pada saingan Grand Slam sejak 1999.

Dia gagal menambah trofi ke-88 buat dirinya tahun ini, kemarau paling panjang sejak 2000 dan mengalami dua kekalahan separuh akhir berturut-turut di Stuttgart dan Halle, masing-masing di atas permukaan rumput yang dikuasainya sebelum ini.

Namun, bintang Switzerland itu menegaskan dia akan menjadi juara tertua di Kelab All England jika memenangi kejuaraan kali kelapan, mengatasi Arthur Ashe yang menjulang trofi itu ketika berusia 32 tahun pada 1975.

"Saya fikir jika pergerakan saya semakin baik dan kemudian permainan belakang gelanggang saya meningkat sedikit, saya akan lebih baik ketika pertarungan mata penting," kata Federer.

Hakikat bahawa Federer mara ke dua pentas terakhir Wimbledon membuktikan kemampuannya untuk mencipta kejutan buat peminat yang menyokong ataupun yang meraguinya.

Dalam kedua-dua pertarungan itu, beliau tewas kepada pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic, yang ketika ini memegang ke semua empat gelaran Grand Slam.

"Adakah Djokovic pemain yang perlu ditundukkan? Sudah pasti. Adakah dia berhak untuk berada di mana dia berada ketika ini? 100 peratus pasti. Namun adakah dia mampu ditewaskan? Ya, jelas sekali saya pasti. Saya tewaskannya tiga kali pada tahun lalu." - AFP

Berita Harian X