Rabu, 15 Jun 2016 | 10:02pm

Shaaban teruskan rawatan di Cheras

SHAABAN Hussin .
SHAABAN Hussin .

KUALA LUMPUR: Pemain golf negara, Shaaban Hussin yang terbabit kemalangan motosikal di Lebuh Raya Guthrie Mac lalu akan mula menjalani rawatan susulan di Hospital Rehabilitasi Cheras, 29 Jun ini.

Dia yang kehilangan kaki kiri selepas kemalangan itu dibenarkan keluar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) Khamis lalu selepas menjalani rawatan selama dua bulan sembilan hari, termasuklah ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Saya sudah dibenarkan keluar dari HKL Khamis lalu dan sekarang saya pulang ke rumah di Kota Damansara. Selepas ini saya perlu membuat rawatan susulan di Cheras dan sudah mendaftar di sana semalam.

"Jadi proses rawatan dijadualkan dua minggu lagi yang saya juga akan dilatih menggunakan kaki palsu. Walaupun saya sudah dibenarkan keluar dari HKL, namun saya tetap menerima kunjungan daripada rakan-rakan yang mengambil berat akan keadaan saya, Alhamdulillah," katanya ketika dihubungi BH Sukan.

Mengulas lanjut mengenai perancangan jangka masa panjangnya, pemain berusia 36 tahun itu berkata dia tetap akan meneruskan hasrat membuka sebuah akademi golf bagi berkongsi pengalaman dan pengetahuan dalam sukan itu bersama generasi muda.

"Saya harap cepat sembuh dan selepas dapat kaki palsu, saya akan terus buka akademi itu di Kelab Golf Seri Selangor," katanya.

Untuk rekod, Shaaban terbabit dalam kemalangan pada 31 Mac lalu ketika sedang menunggang motosikal berkuasa tinggi kira-kira jam 8.30 pagi dalam perjalanan dari Ijok menuju Shah Alam untuk menjalani latihan di Glenmarie Golf & Country Club.

Motosikal yang ditunggangnya itu dikatakan terbabas dan mengheretnya di Lebuhraya Guthrie sebelum tercampak ke dalam longkang.

Dia kemudian dihantar ke Hospital Sungai Buloh, sebelum dipindahkan ke HKL tidak lama selepas itu untuk menerima rawatan lanjut. Kemalangan itu dipercayai berlaku selepas Shaaban cuba mengelak sebuah kereta di hadapannya.

Berita Harian X