Selasa, 14 Jun 2016 | 11:06pm

Skuad negara mara pusingan pertama Piala Dunia Memanah

KUALA LUMPUR: Pasukan memanah recurve lelaki negara melangkah ke pusingan pertama Siri Piala Dunia Memanah ketiga di Antalya, Turki, selepas layak kelompok 16 pasukan terbaik, pada Isnin.

Pada pusingan kelayakan itu, Malaysia yang dibarisi Khairul Anuar Mohamad, Haziq Kamaruddin dan Muhammad Ikram Joni berjaya mengumpul 1,971 mata untuk berada di tempat ke-15.

Mereka dijadual bertemu pasukan dari Amerika Syarikat pada pusingan pertama yang akan berlangsung esok.

Kejohanan berkenaan adalah medan terakhir skuad memanah recurve negara untuk menambah slot ke Olimpik dalam acara berpasukan.

Selepas saingan kelayakan, pasukan Korea Selatan diletakkan sebagai pasukan pilihan pertama acara berpasukan selepas mengumpul 2,050 mata, diikuti Amerika Syarikat dan Taiwan masing-masing dengan 2,027 dan 2,014 mata.

Untuk acara individu, Khairul Anuar menamatkan saingan pusingan kelayakan individu di tempat ke-11 dengan mengutip 675 mata, dan akan bertemu Malavasic den Habjan dari Slovakia pada pusingan pertama recurve individu lelaki, yang juga berlangsung esok.

Sementara Haziq yang mengumpul 649 mata akan bertemu pemanah Jepun, Takaharu Furukawa manakala Muhammad Ikram dengan 647 mata akan menentang Anttiolavi Vikstrom dari Finland.

Setakat ini, hanya Khairul Anuar layak ke Sukan Olimpik selepas memenangi pingat emas di Kejohanan Memanah Asia di Bangkok, Thailand pada November lepas. - BERNAMA

Berita Harian X