Sabtu, 4 Jun 2016 | 8:53am
NOVAK Djokovic (kanan) dan Andy Murray akan membuat perhitungan kali ketujuh dalam perebutan gelaran Grand Slam, esok. - Foto EPA/Reuters
NOVAK Djokovic (kanan) dan Andy Murray akan membuat perhitungan kali ketujuh dalam perebutan gelaran Grand Slam, esok. - Foto EPA/Reuters

Djokovic, Murray buru gelaran sulung Terbuka Perancis

PARIS: Novak Djokovic dan Andy Murray akan membuat perhitungan kali ketujuh dalam perebutan gelaran Grand Slam, esok selepas masing-masing mencatat kemenangan bergaya pada aksi separuh akhir Terbuka Perancis, awal pagi tadi.

Djokovic mara ke final buat kali keempat di Paris hasil kemenangan ke atas pemain Austria, Dominic Thiem 6-2, 6-1, 6-4 sekali gus semakin hampir bagi melengkapkan gelaran Grand Slam dalam kerjayanya.

Pemain nombor satu dunia itu akan berdepan pilihan kedua kejohanan, Murray yang menyingkirkan juara bertahan, Stan Wawrinka 6-4, 6-2, 4-6, 6-2.

Aksi final esok turut akan menjadi sejarah buat kedua-dua pemain.

Djokovic beraksi buat kali ke-20 dalam final kejohanan utama dalam misi memburu gelaran pertama di Rolland Garros sekali gus menjadi pemain kelapan yang berjaya melengkapkan kejuaraan Grand Slam.

Murray, 29, pula berpeluang menjadi pemain Britain pertama menjuarai Terbuka Perancis sejak Fred Perry melakukannya pada 1935.

Aksi esok akan menjadi perlawanan keenam berturut-turut buat Djokovic bagi penentuan kejuaraan Grand Slam dengan dia berpeluang menambah koleksi kejuaraannya kepada 11 gelaran utama.

Dia sebelum ini sudah menjuarai Wimbledon, Terbuka Amerika Syarikat (AS) dan Terbuka Australia.

"Suasana sepanjang perlawanan ini sangat menakjubkan. Ini adalah kali pertama saya beraksi dalam perlawanan separuh akhir di gelanggang Suzanne Lenglen.

"Saya bermain pada tahap prestasi terbaik saya setakat ini. Saya kini dalam situasi yang mana saya sentiasa impikan iaitu beraksi di pentas final Rolland Garros," kata Djokovic.

Murray dan Djokovic sudah pun menentang antara satu sama lain dalam enam aksi final Grand Slam. Djokovic menang empat kali di Australia manakala Murray bergelar juara di Terbuka AS dan Wimbledon.

"Saya sedar jika saya mahu menang, saya perlu bermain pada tahap prestasi terbaik saya di gelanggang tanah liat. Rekod dimiliki Stand sejak beberapa tahun lalu di sini sangat luar biasa," kata Murray mengulas mengenai aksinya menentang Wawrinka. - AFP

Berita Harian X