Selasa, 31 Mei 2016 | 2:38pm

Nazrin, Shakir nafi pindah ke Kelantan

SHAKIR Shaari dan Nazrin Nawi (kanan).
SHAKIR Shaari dan Nazrin Nawi (kanan).

KOTA BHARU: Khabar angin perpindahan pemain tonggak Johor Darul Ta' zim (JDT), Shakir Shaari dan Nazrin Nawi ke Kelantan seperti dihebohkan di dalam media sosial dinafikan oleh kedua-dua pemain itu.

 

Laporan mengenai perpindahan dua pemain terbabit hangat diperkatakan dan menjadi viral dalam laman media sosial gara-gara jendela perpindahan pemain yang akan dibuka oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dari 22 Jun hingga 15 Julai ini.

Nazrin yang juga pemain sayap kiri JDT, berkata dia masih mempunyai baki kontrak hingga akhir tahun ini dan tidak pernah dihubungi mana-mana pasukan termasuk Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk mendapatkan khidmatnya.

"Saya tidak pernah menerima surat tawaran dan tidak pernah dihubungi mana-mana wakil KAFA.

"Saya tidak mengetahui dari mana datangnya cerita ini dan ia adalah tidak benar sama sekali," katanya ketika dihubungi.

Shakir yang juga pemain tengah JDT berkata, dakwaan peminat berhubung perpindahannya ke Kelantan pada jendela perpindahan pemain yang dibuka mulai 22 Jun ini adalah tidak benar.

"Saya menafikan akan berpindah ke Kelantan seperti yang diperkatakan peminat. Ini hanyalah sekadar ramalan peminat dan saya tidak pernah dihubungi mana-mana wakil KAFA," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Md Noor, berkata pihaknya menafikan dakwaan itu sambil menganggap laporan perpindahan dua pemain itu hanya khabar angin.

Berita Harian X