Isnin, 30 Mei 2016 | 6:44pm

Shaaban hargai sokongan, bantuan semua pihak

JUARA Kejohanan PGM Sime Darby Harvard 2016, Shaaban Hussin kelihatan ceria ketika bertemu dengan media di Hospital Kuala Lumpur hari ini. - Foto BERNAMA
JUARA Kejohanan PGM Sime Darby Harvard 2016, Shaaban Hussin kelihatan ceria ketika bertemu dengan media di Hospital Kuala Lumpur hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pemain golf negara, Shaaban Hussin, merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas sokongan diberikan kepadanya sepanjang menjalani rawatan di hospital susulan kemalangan.

Katanya, ucapan sama juga diberikan kepada staf hospital yang turut memainkan peranan penting dalam memastikan dirinya melupakan musibah yang menimpanya sebelum ini."

"Alhamdulillah keadaan saya memang sangat baik, mungkin dalam masa dua tiga hari saya sudah boleh keluar dari sini (Hospital Kuala Lumpur-HKL).

"Saya ingin ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga salah seorang yang membantu memberikan saya semangat.

"Selain itu juga staf di sini juga menjaga saya dengan sangat baik. Jadi mereka antara yang memberikan sokongan untuk saya jadi ia membuatkan saya sudah dapat melupakan apa terjadi pada saya, syukur Alhamdulillah," katanya ketika ditemui media di HKL, hari ini.

Katanya, pada peringkat awal selepas sedar, dia tidak dapat menerima kenyataan namun dia mengambil pendekatan untuk reda menerima ketentuan Illahi.

"Mula-mula memang saya tidak boleh terima tapi sebab benda nak jadi...saya terpaksa kena redha benda nak jadi. Jadi mereka bagi semangat langsung saya tak ingat apa yang jadi, memang mereka cuba nak pulihkan saya seperti biasa kembali" katanya.

Hadir melawat Shaaban hari ini, Pengerusi Persatuan Profesional Golf Malaysia (PGM), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Terdahulu, pada Mac lalu, Shaaban, 36, terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan dari Ijok ke Shah Alam untuk menjalani latihan di Glenmarie Golf & Country Club.

Motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya itu dikatakan terbabas sehingga menyebabkan dia terseret di lebuh raya sebelum tercampak ke longkang.

Kemalangan itu dipercayai berpunca selepas Shaaban cuba mengelak sebuah kereta di hadapannya. Dia kemudian dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan lanjut, sebelum dipindahkan ke HKL tidak lama selepas itu.

Kemalangan itu menyebabkan dia kehilangan kaki kiri selepas terpaksa dipotong akibat cedera parah.

Berita Harian X