Khamis, 26 Mei 2016 | 7:37am

Anugerah suntik semangat Pandelela buru pingat di Rio

YANG di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah berkenan menyampaikan Anugerah Sukan Negara 2015 Olahragawati Kebangsaan kepada Pandelela Rinong di PICC malam ini. Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Khairi Jamaluddin Abu Bakar (kiri). - Foto BERNAMA
YANG di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah berkenan menyampaikan Anugerah Sukan Negara 2015 Olahragawati Kebangsaan kepada Pandelela Rinong di PICC malam ini. Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Khairi Jamaluddin Abu Bakar (kiri). - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Kejayaan memenangi Anugerah Olahragawati Kebangsaan 2015 menjadi pembakar semangat ratu terjun negara, Pandelela Rinong untuk membawa pulang pingat dari Sukan Olimpik 2016 di Brazil, Ogos ini.

Pandelela, 23, dari Sarawak yang pernah memenangi anugerah sama pada 2011 dan 2013 menegaskan fokusnya kini lebih terarah meningkatkan prestasi terjunan menjelang tiga bulan sebelum bermula temasya sukan terbesar dunia itu.

"Ini adalah anugerah yang ketiga dan saya rasa sangat gembira dan ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong saya.

"Selepas ini tiada apa-apa kejohanan, tumpuan sepenuhnya ialah pada latihan dan persediaan ke Rio.

"Mungkin akan menjalani latihan di luar negara dalam masa terdekat ini," katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Sukan Negara 2015 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, malam tadi.

Berkongsi pandangan sama adalah pesilat negara Mohd Al Jufferi Jamari yang menyifatkan anugerah Olahragawan Kebangsaan 2015 sebagai satu kemenangan bermakna untuk sukan silat yang kurang diberikan tumpuan berbanding beberapa sukan lain.

"Saya amat bersyukur kerana memenangi anugerah ini selepas hanya dicalonkan dalam senarai enam terbaik dalam dua edisi sebelum ini.

"Penganugerahan ini juga membakar semangat pesilat lain bagi mengharumkan nama negara di persada antarabangsa," kata anak jati Kuantan, Pahang itu yang meraih emas kategori Putera E (65-70kg) pada edisi ke-16 Kejuaraan Silat Dunia di Phuket, Thailand, tahun lepas.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menyampaikan piala pusingan, piala iringan, sijil dan wang tunai RM20,000 masing-masing kepada Mohd Al-Jufferi dan Pandelela.

Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin. - BERNAMA

Berita Harian X