Selasa, 17 Mei 2016 | 11:07pm

Chong Wei, Nicol tak tercalon untuk Anugerah 2015

DATUK Lee Chong Wei dan Datuk Nicol Ann David tidak berada dalam senarai atlet yang disenarai pendekkan bagi Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Negara 2015. - Foto NSTP
DATUK Lee Chong Wei dan Datuk Nicol Ann David tidak berada dalam senarai atlet yang disenarai pendekkan bagi Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Negara 2015. - Foto NSTP

PUTRAJAYA: Dua ikon sukan negara, Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol Ann David tidak berada dalam senarai atlet yang disenarai pendekkan bagi Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Negara 2015.

Sebaliknya, penerima Anugerah Olahragawan 2015 pasti 'muka baharu' kerana enam calon terakhir belum pernah memenanginya sebelum ini manakala bagi Anugerah Olahragawati hanya ratu terjun, Pandelela Rinong Pamg, penerima edisi 2011 dan 2012 menjadi 'orang lama' yang disenarai pendekkan kali ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali, berkata enan calon terakhir Anugerah Olahragawan 2015 ialah Ooi Tze Liang (terjun), Mohd Al-Jufferi Jamari (silat), Muhammad Rafiq Ismail (boling), Thor Chuan Leong (snuker/billiard), Loh Jack Chang (wushu) dan Mohd Harrif Saleh (berbasikal).

Bagi Anugerah Olahragawati pula, selain Pandelela, lima lagi yang disenerai pendekkan ialah Nur Izzati Yaakob (bola keranjang), Fatin Nurfatehah Mat Salleh (memanah), Siti Rahmah Mohamed Nasir (silat), Nur Syazrin Muhamad Latif (pelayaran) dan Chan Lu Yi (wushu).

Ketiadaan nama Chong Wei, penerima empat kali anugerah Olahragawan dan Nicol, pemenang 10 kali Olahragawati negara, boleh dikaitkan dengan kegagalan mereka mencatat pencapaian membanggakan tahun lepas yang turut menyaksikan masing-masing kehilangan status sebagai pemain nombor satu dunia.

"Calon yang disenarai pendekkan untuk kedua-dua anugerah utama ini dibuat berdasarkan prestasi cemerlang mereka pada 2015.

"Setiap calon telah membuktikan kejayaan masing-masing sepanjang tahun lepas dan pemilihan mereka adalah berdasarkan kriteria mutu dan kualiti yang ditunjukkan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2015 di sini, hari ini.

Menurut beliau, untuk kategori Olahragawan, jawatankuasa itu menerima sebanyak 18 pencalonan manakala bagi kategori Olahragawati pula, 17 pencalonan dikemukakan sebelum enam calon terbaik disenarai pendekkan dalam kategori.

Olahragawan dan Olahragawati Negara 2015 akan menerima hadiah wang tunai RM20,000, trofi serta sijil dan buat kali pertama, Malaysia Airlines menyumbang tiket pergi-balik kelas perniagaan ke destinasi luar negara.

Selain dua anugerah utama itu, lapan lagi anugerah dipertandingkan iaitu pasukan kebangsaan lelaki dan wanita terbaik, Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik, jurulatih lelaki dan wanita kebangsaan terbaik, Anugerah Tokoh Sukan dan Anugerah Kepimpinan Sukan.

Anugerah sukan berprestij yang memasuki edisi ke-50 tahun ini akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada 25 Mei ini. - BERNAMA

Berita Harian X