Sabtu, 14 Mei 2016 | 12:24am

WADA mungkin tegah atlet Kenya ke Rio

WILLIAM Ruto.
WILLIAM Ruto.

NAIROBI: Pegawai kerajaan dan kesatuan olahraga Kenya sedang mencari jalan bagi mengelak kemungkinan mereka diharamkan menyertai Olimpik Rio selepas Agensi Anti Doping Dunia (WADA) mendapati Kenya tidak mematuhi peraturan badan dunia itu.

Bulan lalu, satu undang-undang baharu diperkenalkan Kenya selepas berbincang dengan WADA namun, semalam, WADA berkata, ia tidak konsisten dengan peraturan sedia ada sekali gus mendakwa Kenya tidak patuh pada syarat doping WADA.

Dengan perkembangan terbaru itu, Kenya kini perlu meminda semula draf undang-undang itu jika mahu melihat atletnya lari jarak jauhnya dapat mengambil bahagian dalam temasya Olimpik Rio, Ogos nanti.

Timbalan Presiden Kenya, William Ruto berkata, kerajaan mengambil berat perkara itu dan sedang mengambil langkah perlu bagi mengelak pengharaman atletnya ke Rio.

"Kerajaan akan melakukan apa saja usaha yang diperlukan oleh WADA dan akan setuju dengan semua syarat mereka,'' katanya sambil mengakui temasya berkenaan akan suram jika tiada penyertaan daripada jagoan Kenya.

Menteri Sukan Kenya, Hassan Wario berkata dia, tidak faham mengapa undang-undang yang diluluskan Kenya itu tidak dapat diterima oleh WADA namun mengesahkan bahawa Menteri Luarnya, Amina Mohamed akan terbang ke Kanada hujung minggu ini untuk berbincang dengan pegawai tertinggi WADA bagi mencari penyelesaian muktamad berhubung beberapa perkara bercanggah. -Agensi

Berita Harian X