Rabu, 11 Mei 2016 | 9:25pm

Sukan Sea: Pemain tenis dituntut akhiri kemarau

KETUA kontinjen negara, Datuk Marina Chin meninjau persiapan pemain tenis di Kompleks Tenis Jalan Duta, hari ini. - Foto BERNAMA
KETUA kontinjen negara, Datuk Marina Chin meninjau persiapan pemain tenis di Kompleks Tenis Jalan Duta, hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pemain tenis negara perlukan pendedahan kejohanan yang lebih banyak bagi membaiki ranking yang ada menjelang Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur nanti.

"Sasaran kita sekarang adalah bagi pemain lelaki mahu pun perempuan membaiki ranking masing-masing supaya pada Sukan SEA nanti kita dapat mengelak berjumpa pasukan kuat seperti Thailand ataupun Filipina pada peringkat awal," kata jurulatih, Muliyadi Jamal.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan ketua kontinjen negara, Datuk Marina Chin bagi meninjau persiapan pemain tenis di Kompleks Tenis Jalan Duta, hari ini.

Kali terakhir negara memenangi pingat perak dan gangsa adalah pada Sukan SEA 2001 juga di Kuala Lumpur dengan pingat emas yang pernah dimenangi adalah pada temasya 1973 menerusi gandingan Radhika Menon dan Lim Kheow Suen dalam acara beregu wanita.

Dalam fasa pertama program Kita Juara 2017, seramai lima pemain lelaki dan tiga pemain wanita dimasukkan dalam senarai awal.

Antara pemain yang disenaraikan adalah Jawairiah Noordin, Syed Mohamad Agil Syed Naguib dan Mohd Assri Merzuki.

Sementara itu, Marina berkata dia melihat semangat tinggi yang dipamer pemain tenis untuk memenangi pingat pada Sukan SEA tahun depan.

"Ini adalah kali pertama saya berjumpa dengan pemain tenis dan daripada perbualan tadi saya lihat semangat mereka sangat tinggi.

"Menurut mereka, taraf pemain negara adalah lebih kurang dengan lawan di Asia Tenggara dan mereka boleh berikan cabaran," katanya.

INFO

4 - pingat emas ditawarkan pada Sukan SEA 2017

1975 - kali terakhir Malaysia menang emas di Sukan SEA

Berita Harian X