Selasa, 10 Mei 2016 | 9:48pm

Atlet perlukan pemahaman doping - Marina Chin

KETUA kontinjen negara untuk Sukan SEA 2017, Datuk Marina Chin (tengah) mencuba bola boling ketika meninjau sesi latihan skuad tenpin boling di Sunway Mega Lanes, Bandar Sunway. - Foto BERNAMA
KETUA kontinjen negara untuk Sukan SEA 2017, Datuk Marina Chin (tengah) mencuba bola boling ketika meninjau sesi latihan skuad tenpin boling di Sunway Mega Lanes, Bandar Sunway. - Foto BERNAMA

PETALING JAYA: Kes positif doping yang banyak berlaku dalam kalangan atlet muda masa kini dapat dibendung melalui pendekatan secara pemahaman dan pembelajaran, kata ketua kontinjen negara untuk Sukan SEA 2017 Datuk Marina Chin.

Beliau berkata, kes doping yang membabitkan atlet prestasi tinggi memang membimbangkan terutamanya ketika kontinjen negara dalam proses persediaan Sukan SEA di Kuala Lumpur pada 19-31 Ogos, 2017.

"Dalam perancangan kita, memang akan buat banyak program pendidikan mengenai bahaya dan kesan doping. Mereka ini perlu didedahkan secara mendalam mengenai amalan yang perlu dilakukan agar kekal sihat tanpa pengambilan bahan terlarang.

"Contohnya, mereka perlu diberitahu untuk tidak mengambil sebarang ubat-ubatan dari kedai tanpa pengetahuan dan persetujuan Institut Sukan Negara (ISN)," katanya kepada pemberita selepas meninjau sesi latihan skuad tenpin boling di Sunway Mega Lanes, Bandar Sunway, di sini.

Baru-baru ini, sukan negara dikejutkan dengan dua kes doping melibatkan atlet bina badan dan angkat berat.

Difahamkan atlet bina badan berkenaan gagal ketika menjalani ujian doping pada pertandingan yang disertainya baru-baru ini selepas mengambil makanan tambahan mengandungi bahan terlarang.

Mengulas mengenai skuad tenpin boling Sukan SEA 2017, Marina percaya sukan boling mampu memberi sumbangan pingat kepada kontinjen negara ekoran persiapan yang agak konsisten.

Katanya, berdasarkan perbincangan dengan jurulatih dan atlet, mereka sendiri yakin dengan kemampuan dan pendedahan yang telah dilakukan menjelang Sukan SEA.

Atlet boling negara yang terlibat dalam 'Program Kita Juara' ialah Ahmad Muaz Mohd Fishol, Muhd Nur Aiman, Qalif Adnor Adam, Sharon Koh, Nora Lyana Nastasia Norkamal, Nor Syazwani Sahar, Natasha Roslan.

Victoria Chin, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Alisha Iman Cheong, Radin Nur Najwa Arifah, Esther Cheah, Dayang Khairuniza Dhiyana Abang Jamaliddon dan Hee Kar Yen.

Bagi Program Podium pula, atlet boling terlibat adalah Alex Liew, Timmy Tan, Muhammad Rafiq Ismail, Zulmazran Zulkifli, Muhammad Syafiq Ridhwan Abdul Malek, Adrian Ang, Shalin Zulkifli dan Sin Li Jane.

Mengulas cadangan Majlis Paralimpik Malaysia supaya Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 digabungkan dan dikenali sebagai Sukan ASEAN 2017, Marina berkata ia bukan masalah.

"Namun perkara ini sebenarnya tiada kaitan dengan saya, saya hanya ditugaskan menjaga kontinjen Sukan SEA sahaja...tapi jika digabungkan kedua-dua temasya tersebut, ia juga tidak jadi masalah untuk saya," katanya.

Pengumuman pelantikan Marina sebagai ketua kontinjen negara untuk Sukan SEA 2017 dibuat Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin pada 11 Sept lepas.

Ia dibuat dua tahun lebih awal bagi memastikan persiapan atlet melalui 'Program Kita Juara' dapat dipantau dengan teliti dari awal dalam usaha Malaysia menjadi juara keseluruhan.

-- BERNAMA

Berita Harian X