Ahad, 8 Mei 2016 | 1:18pm

Moto3 GP Perancis: Khairul Idham Pawi mula di barisan ketiga

KHAIRUL Idham akan memulakan perlumbaan di barisan ketiga Grand Prix Perancis, petang ini. - Foto AP
KHAIRUL Idham akan memulakan perlumbaan di barisan ketiga Grand Prix Perancis, petang ini. - Foto AP

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi akan memulakan perlumbaan di barisan ketiga Grand Prix Perancis, petang ini ketika insiden di awal sesi kelayakan memaksa seorang lagi pelumba negara, Adam Norrodin bermula di petak ke-30.

Khairul yang berlumba bersama pasukan Honda Asia mencatat masa 1 minit 43.106 saat ketika sesi kelayakan, semalam selepas ketinggalan 0.350 saat di belakang pelumba petak pertama, Niccolo Antonelli dari Itali.

Pelumba pasukan Drive M7 SIC Racing, Adam yang hanya melakukan dua pusingan penuh pada sesi kelayakan sekadar melakukan 1 minit 45.207 saat untuk berada di barisan kedua terakhir di Litar Le Mans.

"Terima kasih kepada nasihat Tady (Tadayuki Okada-pengurus pasukan), saya kini lebih memahami untuk menunggang dengan lebih selesa di litar ini dan mampu mendapatkan masa sepusingan yang baik," kata Khairul Idham yang melakar sejarah menjuarai perlumbaan Moto3 GP Argentina, bulan lalu.

"Saya merasa baik dengan jentera dan tiada masalah seperti sebelum ini lagi. Untuk esok (hari ini) saya akan memberikan yang terbaik untuk mengikuti kelompok depan dan selepas itu... kita tunggu dan lihat!."

Adam yang terpaksa menunggu untuk jenteranya kembali disiapkan pasukan selepas berdepan kemalangan untuk kembali ke litar, semalam berkata dia tidak mengerti apa yang berlaku ketika awal sesi kelayakan di sebalik segala pelarasan jentera sama seperti sesi latihan sebelum ini.

"Ia amat buruk kerana saya langsung tidak dapat melengkapkan sepusingan untuk mendapatkan masa yang baik. Jentera mengalami kerosakan besar jadi pasukan saya terpaksa memperbetulkan segala-galanya dan pada akhirnya, hanya dua pusingan dapat saya lakukan.

"Kami juga tidak mempunyai brek belakang dan saya perlu menggunakan apa yang ada. Saya melakukan yang terbaik namun masa tidak mencukupi. Kecewa kerana kami patut melakukan lebih baik. Esok (hari ini) saya akan berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan perlumbaan yang baik," katanya.

Dalam pada itu, masalah tayar terus menghimpit pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah ketika sesi kelayakan, semalam.

Sekali pun memperoleh sesi latihan yang agak baik, pelumba pasukan PETRONAS Raceline Malaysia itu sekadar melakukan catatan 1 minit 37.994 saat untuk memulakan perlumbaan di petak ke-17.

Catatan yang dibuat Hafizh ketinggalan 1.147 saat di belakang pelumba di petak pertama, Thomas Luthi dari Switzerland.

"Kesemua sesi latihan saya merasa baik dan saya merasa selesa untuk mendapatkan kedudukan ke-10 pada sesi kelayakan kemudian pada minit terakhir saya menggunakan tayar daripada dunlop dan merasa tidak selesa dengan keadaan tayar belakang," katanya dipetik dalam laman Instagram sambil menunjukkan tayar jenteranya yang mengalami kerosakan.

Berita Harian X