Rabu, 27 April 2016 | 3:24pm

Golf Amal #DoaBuatShaaban kutip lebih RM40,000

SHUHAINIE (kanan) dan Hairul menyampaikan replika cek sumbangan kepada Norazlina (kiri) dan Nordiah. - Foto SSGC
SHUHAINIE (kanan) dan Hairul menyampaikan replika cek sumbangan kepada Norazlina (kiri) dan Nordiah. - Foto SSGC

KUALA LUMPUR: Pemain golf negara, Shaaban Hussin, yang kehilangan kaki kiri susulan nahas jalan raya akhir bulan lalu, terus mendapat sokongan dan bantuan daripada rakan dan peminat sukan golf.

Semalam, Golf Amal #DoaBuatShaaban anjuran Kelab Golf Seri Selangor (SSGC) berjaya mengutip sumbangan wang berjumlah RM40,500.

Seramai 252 pemain golf menyertai sesi pagi dan petang golf amal berkenaan yang diakhiri dengan majlis makan malam dan penyampaian sumbangan.

Cek sumbangan disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif SACC Convec Sdn Bhd, Shuhainie Shamsudin, dan Pengurus Besar SSGC, Hairul Zaini, kepada isteri Shaaban, Norazlina Nashrudin dan ibu pemain golf itu, Nordiah Mat.

Kumpulan pemain golf media turut menyampaikan sumbangan RM1,210.

Shaaban, dalam rakaman video yang disiarkan pada majlis itu, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, khususnya SSGC yang menjadi penajanya selama ini, rakan media dan peminat sukan golf yang terus memberi sokongan dan bantuan kepadanya.

Isteri beliau, Norazlina, pula menyatakan rasa terharu dengan sokongan dan bantuan yang diberikan rakan Shaaban sejak nahas itu.

RAKAN media Shaaban menyampaikan sumbangan kepada ibu beliau, Nordiah. - Foto SSGC
RAKAN media Shaaban menyampaikan sumbangan kepada ibu beliau, Nordiah. - Foto SSGC

"Saya begitu terharu, belum pernah saya lihat begitu ramai kawan Shaaban yang datang menziarahinya...terima kasih," katanya.

Ibu Shaaban, Nordiah, turut menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang membantu anaknya.

Shaaban, 36, yang menaiki motosikal berkuasa tinggi terbabas semasa cuba mengelak sebuah kereta yang berhenti di tepi Lebuhraya Guthrie pada 31 Mac lalu.

Susulan itu, kaki kiri beliau yang mengalami kecederaan teruk, terpaksa dipotong.

Berita Harian X