Selasa, 19 April 2016 | 2:55pm

Shaaban masih dirawat di HKL, kian positif

Shaaban Hussin. - Foto The ClubHouse
Shaaban Hussin. - Foto The ClubHouse

KUALA LUMPUR: Pemain golf negara, Shaaban Hussin yang dipotong kaki kirinya selepas mengalami kemalangan di Lebuhraya Guthrie dekat sini 31 Mac lalu, makin menunjukkan perkembangan positif.

Abangnya, Mohd Shawal, berkata adiknya itu sudah mulai stabil selain sudah menjalani pembedahan tangan kirinya yang patah ekoran insiden itu dan kini terus menjalani rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Shaaban masih ditempatkan di HKL dan dirawat di wad sama (Aras 2 Wad Tujuh Jabatan Ortopedik). Dia sudah pun selesai menjalani pembedahan tangan kiri serta mencuci luka, Alhamdulillah dia sudah menunjukkan boleh bertindak balas terhadap sentuhan di bahagian yang dibedah.

"Adik kini dikawal selia oleh doktor dan sudah menunjukkan 20 peratus perubahan di tangan kiri yang dibedah, dia akan menjalani pemeriksaan bahagian tangan selepas ini serta terus menjalani rawatan sepenuhnya di HKL kerana ia membabitkan proses berterusan.

"Apapun saya bersyukur kerana adik sudah pun sedar serta semangatnya kuat kerana berada dalam keadaan tenang dan dapat menerima apa yang terjadi terhadapnya. Tapi saya rasa tak mungkin Shaaban akan keluar daripada hospital dalam masa terdekat," kata Mohd Shawal ketika dihubungi BH Sukan, semalam.

Untuk rekod, Shaaban, 36, yang menunggang motosikal berkuasa tinggi terbabit dalam kemalangan kira-kira jam 8.30 pagi, ketika dalam perjalanan dari Ijok ke Shah Alam untuk menjalani latihan di Glenmarie Golf & Country Club.

Motosikal yang ditunggangnya itu dikatakan terbabas dan mengheretnya di Lebuhraya Guthrie sebelum tercampak ke dalam longkang. Dia kemudian dihantar ke Hospital Sungai Buloh, sebelum dipindahkan ke HKL tidak lama selepas itu untuk menerima rawatan lanjut.

Berita Harian X