Sabtu, 2 April 2016 | 11:20pm

JDT berpesta gol untuk mara separuh akhir

PEMAIN JDT, Pereyra Diaz meraikan jaringannya pada perlawanan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim
PEMAIN JDT, Pereyra Diaz meraikan jaringannya pada perlawanan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

JOHOR BAHRU: Kelebihan beraksi di laman sendiri dimanfaatkan sepenuhnya Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila melakar kemenangan besar 5-2 ke atas PDRM sekali gus mara ke separuh akhir Piala FA 2016, malam tadi.

Diperkuatkan dengan sorakan ribuan penyokong yang hadir di Stadium Tan Sri Dato Hj Hassan Yunos, Larkin, kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan mara dengan keputusan agregat 6-2.

Pada aksi pertama di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 19 Mac lalu, JDT membawa bekalan tipis hasil kemenangan 1-0 di laman lawan.

Begitupun, keraguan itu pantas dilupakan apabila skuad bimbingan Mario Gomez itu cemerlang selesa mendahului PDRM 4-0 berakhir babak pertama.

JOHOR BAHRU 02 APRIL 2016. Pemain JDT, Juan Martin Lucero (kanan) dijatuhkan penjaga gol PDRM, Muhd Haziq Nadzli ketika perlawanan suku akhir kedua Piala FA 2016 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. NSTP/HAIRUL ANUAR ABD RAHIM

Gol pertama JDT dijaringkan seawal minit ke-15 perlawanan menerusi pemain import berbisa, Jorge Pereyra Diaz yang cemerlang meledak gol kedua peribadinya pada minit ke-28.

Kapten pasukan, Safiq Rahim kemudian meletakkan tuan rumah selesa di depan menerusi sepakan penalti pada minit ke-40 sebelum Azinee Taib men jaringkan gol cantik pada minit ke-42.

PDRM cuba mencetus kebangkitan apabila pemain import, Andre Francisco Wiliams meledak gol empat minit selepas babak kedua bermula sebelum menjaringkan gol kedua pada minit ke-63 menerusi Ahmad Nizam Rodzi.

Begitupun, JDT tidak cepat melatah apabila meledak gol kelima menerusi penyerang import, Juan Martin Lucero pada minit ke-66.

Tiada jaringan tambahan berjaya dijaringkan sekali pun perlawanan bertambah panas sehingga wisel penamat ditiupkan.

Lawan JDT di separuh akhir adalah naib juara Piala Malaysia tahun lalu, Kedah.

Berita Harian X