Sabtu, 2 April 2016 | 2:34pm

PGAM, MSN bantulah Shaaban - Ibu

PEMAIN golf negara, Shaaban Hussin. - Foto Hasriyasyah Sabudin
PEMAIN golf negara, Shaaban Hussin. - Foto Hasriyasyah Sabudin

KUALA LUMPUR: Ibu pemain golf negara, Shaaban Hussin, Noordiah Mat merayu pihak bertanggungjawab termasuk Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Profesional Golf Malaysia (PGAM) membantu anaknya yang kini kehilangan kaki kiri selepas terbabit dalam kemalangan di Lebuh Raya Guthrie, kelmarin.

Kaki kiri Shaaban terpaksa dipotong dari paras atas lutut selepas doktor gagal menyelamatkannya berikutan kecederaan yang dialami terlalu serius.

"Lepas saya tengok keadaan Shaaban, dia mungkin tidak boleh bermain golf lagi. Saya harap sangat kalau ada kerja yang baik-baik di mana-mana tempat termasuk agensi... berilah dia peluang untuk berkhidmat bbu memang sedih apabila melihat keadaan Shaaban jadi macam ini. Selepas saya diberitahu keadaan Shaaban, saya rasa macam nak pengsan," katanya ketika ditemui di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam.

Abang Shaaban, Mohd Shawal, 38, yang ditemui semalam turut menyuarakan kebimbangannya dan berharap kebajikan adiknya terjamin demi masa depan keluarganya

"Kami sudah serahkan segala-galanya kepada doktor, tetapi tidak boleh buat apa-apa. Cuma saya harap badan tertentu terutama MSN, persatuan sukan atau sesiapa yang rapat dengan Shaaban tampil membantu.

"Saya memohon pihak terbabit tampil membantu kebajikan adik saya kerana dia mempunyai dua anak dan kita perlu fikirkan mengenai masa depan mereka," katanya.

Mohd Shawal mengesahkan kaki kiri Shaaban terpaksa dipotong kerana kecederaan yang dialami terlalu serius.

"Apa yang saya lihat, kaki kiri Shaaban sudah dipotong. Saya difahamkan bahagian bawah sudah tidak dapat lagi diselamatkan kerana terdapat urat saraf yang putus. Ketika saya bertemu dengannya, Shaaban hanya mampu berkomunikasi dengan memberi isyarat badan," katanya.

BH Sukan semalam melaporkan Shaaban, 36, yang menunggang motosikal berkuasa tinggi terbabit dalam kemalangan kira-kira jam 8.30 pagi, etika dalam perjalanan dari Ijok ke Shah Alam untuk menjalani latihan di Glenmarie Golf & Country Club.

Motosikal yang ditunggangnya itu dikatakan terbabas dan mengheretnya di Lebuhraya Guthrie sebelum tercampak ke dalam longkang.

Dia kemudian dihantar ke Hospital Sungai Buloh, sebelum dipindahkan ke HKL tidak lama selepas itu untuk menerima rawatan lanjut. Kemalangan itu dipercayai berlaku selepas Shaaban cuba mengelak sebuah kereta di hadapannya.

Berita Harian X