Selasa, 29 March 2016 | 5:58pm

Atlet langgar undang-undang perlu tanggung sendiri

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian persefahaman antara Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi (dua dari kiri) dengan Naib Canselor Universiti Antarabangsa UNITAR, Prof Madya Dr Sakina Sofia Baharom (dua dari kanan), selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman di MSN Bukit Jalil. Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali (kiri) dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar (kanan). - Foto Hasriyasyah Sabudin

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang salah laku atlet negara yang menyalahi undang-undang.

"Jika anda melanggar undang-undang maka anda akan membayar akibatnya. Saya telah mengarahkan Majlis Sukan Negara untuk berhubung dengan Jabatan Imigresen bagi mengetahui apa yang berlaku.

"Kami tidak boleh bertanggungjawab terhadap perbuatan atlet di atas kapasiti peribadi mereka," kata Menterinya, Khairy Jamaluddin ketika mengulas laporan media berhubung penahanan seorang atlet paralimpik badminton negara oleh Jabatan Imigresen Malaysia Kedah semalam.

Atlet berkenaan ditahan ketika melalui pemeriksaan imigresen di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (KIK) Bukit Kayu Hitam, atas dakwaan cuba menyeludup seorang wanita warga Thailand.

Atlet berusia 28 tahun itu dikatakan cuba menyeludup keluar warga Thailand berusia 25 tahun dipercayai teman wanitanya selepas dikesan memiliki cop pas lawatan sosial palsu dalam dokumen perjalanan miliknya.

Terdahulu Khairy mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengurus MSN Penggal ke-19 antara lain memaklumkan bahawa MSN akan melaksanakan Program Kerjaya dan Pendidikan Atlet Malaysia (MACE).

"Ia adalah bagi menyelaraskan serta menyediakan platform untuk mencari peluang dan program yang akan dijadikan sebagai asas dalam memberi keyakinan kepada atlet negara dari segi jaminan masa depan mereka," katanya.

Menurut beliau program itu membabitkan tiga komponen utama iaitu aspek pendidikan, kerjaya dan kebajikan atau perlindungan atlet.

Selepas Mesyuarat Lembaga Pengurus MSN, Khairy turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MSN dengan Universiti Antarabangsa UNITAR.

MoU berkenaan adalah untuk kerjasama dalam program pembangunan bakat dan menyediakan akses pendidikan tinggi untuk atlet di bawah MSN.

"Majlis MoU dengan pihak UNITAR ini juga adalah sebahagian daripada program ini. Melalui kerjasama ini, pihak UNITAR telah bersetuju untuk menawarkan Program Pendidikan BTEC (Majlis Pendidikan Teknologi & Perniagaan) dengan kuota 50 orang pelajar yang akan menelan belanja sebanyak RM400,000 secara percuma.

"Ini salah satu inisiatif dalam usaha kita untuk memperkukuhkan lagi sokongan bagi program pendidikan dan kerjaya atlet negara," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X