Khamis, 24 March 2016 | 12:07am

Perang dingin Benteke, Klopp

PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp (kanan) berkata sesuatu kepada penyerangnya, Christian Benteke.
PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp (kanan) berkata sesuatu kepada penyerangnya, Christian Benteke.

LIVERPOOL: Penyerang Liverpool, Christian Benteke menyifatkan betapa sukar untuk dia memahami punca pengendalinya, Jurgen Klopp seakan 'mengabaikan' dirinya dalam pasukan itu.

Pemain Belgium itu meledak lapan gol dalam 35 penampilan dan hanya merekodkan satu jaringan pada 2016 melalui sepakan penalti.

Dia hanya dibariskan sebagai kesebelasan utama dalam lima perlawanan sejak hujung Disember yang menyaksikan Klopp lebih gemar menurunkan Daniel Sturridge dan juga rakan senegaranya, Divock Origi.

Ketika The Reds tewas di tangan Southampton minggu lalu, pengendali Jerman itu dilihat memberi teguran secara terbuka kepada Benteke di tepi padang.

Hubungan antara mereka juga semakin buruk, namun Benteke menegaskan dia mahu kekal di Anfield meskipun wujud spekulasi yang mengaitkannya dengan perpindahan daripada kelab terbabit.

"Ada rakan sepasukan yang menyatakan saya bertuah selepas kehadiran Klopp kerana pastinya saya akan diberi peluang bermain.

"Apabila jurulatih anda berkata mahu membawa anda ke Dortmund dan kemudian dia berada di kelab yang sama dengan anda tetapi kemudian mengabaikan anda, ini adalah situasi sebegitu sukar untuk difahami," katanya kepada Voetbalmagazine.

Kemampuan Benteke juga dilihat tidak sesuai dengan taktikal Klopp yang lebih gemar mengasak daripada bahagian atas, namun pemain itu menafikan dia tidak dapat menyesuaikan diri dengan taktikal berkenaan.

"Saya rasa ia pelik dan tidak faham punca orang berkata begitu. Saya juga boleh mengasak dan banyak bergerak, lebih-lebih lagi kami bukannya bermain seperti Barcelona.

"Saya tidak mahu berpindah pada jendela perpindahan Januari lalu dan memang menjadi impian saya untuk berjaya di sini. Apa pun, kita tunggu sehingga penghujung musim ini," katanya.

Khabar angin juga mulai timbul apabila West Ham United dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmat penyerang itu dengan pengerusi bersama kelab itu, David Sullivan menyatakan keinginan mereka secara terbuka, tetapi bakal berdepan dengan masalah gaji.

"Masalah gaji pemain itu yang terlampau tinggi menyebabkan tiada kelab yang mampu menampung pembayaran itu, namun dia adalah jenis pemain yang kami minati," katanya. -Agensi

Berita Harian X