Ahad, 20 March 2016 | 2:45pm

Adam bergelut temui rentak di Qatar

PENUNGGANG Moto3 negara, Adam Norrodin.
PENUNGGANG Moto3 negara, Adam Norrodin.

KUALA LUMPUR: Tanpa sesi latihan ketiga dan terus beraksi bagi sesi kelayakan jelas merencatkan rentak penunggang Moto3 negara, Adam Norrodin untuk memperoleh kedudukan yang baik bagi perlumbaan Grand Prix Qatar, hari ini.

Beraksi buat semusim penuh pertamanya dalam kelas ketiga Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) itu, Adam pada sesi kelayakan awal pagi tadi sekadar menamatkan kelayakan di kedudukan ke-27 dengan catatan 2 minit 07.582 saat.

Pelumba pasukan Drive M7 SIC Racing Team itu pada sesi latihan pada Jumaat lalu berdepan kemalangan yang disifatkan bukan saja mengganggu corak tunggangannya, malah keyakinannya.

"Sesi kelayakan hari ini amat sukar bagi saya. Selepas insiden pada sesi latihan kelmarin, saya tidak merasa begitu baik," kata Adam.

"Saya rasa kurang yakin dengan jentera dan bergelut dengan rentak saya. Saya cuba untuk membuat sesuatu namun ia gagal memperbaiki masa saya.

"Kini saya tahu bagaimana sesi kelayakan sebenar dalam kelas Moto3, jadi selepas ini saya berharap untuk menjadi lebih baik.

"Sekalipun kurang gembira dengan kedudukan grid saya, banyak yang saya pelajari hari ini dan saya kini mengetahuinya dengan lebih baik yang saya perlu fokus dan bagaimana untuk pergi ke sesi kelayakan.

"Ia akan menjadi perlumbaan yang sukar namun saya akan cuba untuk menamatkan perlumbaan pertama saya dengan baik," kata pelumba kelahiran Johor itu.

Rakan sepasukan Adam, Jakub Kornfeil dalam pada itu akan bermula di petak ke-16 selepas turut berdepan dengan masalah pelarasan jentera.

Pengurus pasukan, Johan Stigefelt mengakui kesukaran yang dihadapi Adam namun tetap memuji catatan yang dibuat pelumba berusia 17 tahun itu.

"Untuk terus beraksi pada sesi kelayakan tanpa sebarang latihan pada hari sama sentiasa perjudian buat sesiapapun dan malangnya ia memang mengganggu pelumba kami.

"Adam sebelum ini berdepan kemalangan dan menuju sesi kelayakan pertamanya menang amat sukar secara mental. Disebabkan perkara itu, saya tidak merasakan apa yang dilakukannya tidak baik," katanya dengan Adam hanya dipisahkan 1.4 saat di belakang pelumba Itali, Romano Fenati yang meraih petak utama.

Seorang lagi pelumba negara yang beraksi dalam kelas Moto3, Khairul Idham Pawi begitupun memperoleh kedudukan lebih baik untuk memulakan perlumbaan di petak ke-17.

Pelumba pasukan Honda Team Asia itu melakukan catatan terbaik 2 minit 06.982 saat iaitu ketinggalan 0.851 saat di belakang Fenati.

Dalam kelas Moto2, pelumba tunggal negara, Hafizh Syahrin Abdullah akan memulakan perlumbaan di petak ke-16.

Pelumba pasukan Petronas Raceline Malaysia itu melakukan catatan terbaik 2 minit 176 saat, kurang 1.124 saat berbanding pelumba Jerman, Jonas Folger yang meraih petak utama.

Berita Harian X