Sabtu, 5 March 2016 | 12:45pm

Scott dahului dua pukulan di Cadillac

PEMAIN golf Australia, Adam Scott. - Foto AFP
PEMAIN golf Australia, Adam Scott. - Foto AFP

MIAMI: Pemain golf Australia, Adam Scott melakukan enam bawah par 66 awal pagi tadi untuk mendahului dua pukulan selepas berakhirnya pusingan kedua Kejohanan Golf Dunia di Cadillac, Doral, hari ini.

Juara Masters 2013 itu melakukan lapan birdie, tiga yang terakhir diperoleh berturut-turut pada par 3 lubang ke-15, untuk mendahului 10 bawah par 134 selepas permainan 36 lubang di Doral.

Pemain Ireland Utara, Rory McIlroy, yang mengimpikan untuk melengkapkan karier Grand Slam dengan kejayaan dalam kejohanan Masters bulan depan, melakukan 65 untuk berkongsi di tempat kedua dengan 136 bersama Dustin Johnson dari Amerika Syarikat, juara bertahan yang tidak mencatatkan bogey dengan 64.

Pemain England, Danny Willett pula melakukan 137 bersama dua kali juara Masters, Bubba Watson dan rakan senegaranya dari Amerika Syarikat, Charley Hoffman dengan 138 dan Paul Casey dari England bersama-sama Phil Mickelson dengan 139.

Scott memulakan aksi dengan birdie secara berturut-turut, melakukan satu bogey di lubang ketiga dan kembali melakukan birdie semua di lubang keenam dan ketujuh.

Dia kemudian mencatat birdie pada par 5 lubang ke-12 sebelum satu lagi bogey pada 14 untuk memastikan berada di depan.

Selepas hampir dua tahun kemarau gelaran di Honda Class pada Ahad lalu, Scott muncul pemain pertama mencatat kemenangan berturut-turut di Jelajah Amerika Syarikat sejak Billy Horschel pada 2014 di Kejohanan BMW dan Kejohanan Jelajah.

"Saya rasa keseluruhannya, kebanyakan adalah perkara yang bagus," kata Scott.

"Dengan banyak pukulan berkualiti dan putt yang berkualiti untuk menafikan beberapa kesilapan yang dilakukan. Tetapi mereka juga mudah melakukannya di lapangan golf ini.

"Jadi saya gembira yang ia mencukupi untuk mengekalkan saya di atas dan mengekalkannya selepas separuh perjalanan." - AFP

Berita Harian X