Selasa, 1 March 2016 | 9:26pm

Tenis Terbuka Malaysia: Svitolina mudah mara

PEMAIN Ukraine, Elina Svitolina membalas pukulan pemain Jepun, Miyu Kato pada perlawanan pusingan pertama Kejohanan Tenis WTA BMW Terbuka Malaysia 2016 di KLGCC. - Foto Osman Adnan
PEMAIN Ukraine, Elina Svitolina membalas pukulan pemain Jepun, Miyu Kato pada perlawanan pusingan pertama Kejohanan Tenis WTA BMW Terbuka Malaysia 2016 di KLGCC. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Pilihan kedua kejohanan dari Ukraine, Elina Svitolina yang juga menghuni ranking ke-19 dunia hanya memerlukan 47 minit untuk mara ke pusingan kedua Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia BMW 2016 di di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC), hari ini.

Svitolina, 21, mudah menundukkan jalan keluar kepada peserta pusingan kelayakan, Miyu Kato dari Jepun (ranking ke-171 dunia) dengan keputusan 6-1, 6-1.

Kemenangan mudah itu akan menyaksikan Svitolina bakal bertemu Risa Ozaki dari Jepun pada pusingan kedua. Ozaki mara selepas mengetepikan Elizaveta Kulichkova dari Rusia, 6-0, 6-2 dalam masa 1 jam 8 minit di pusingan pertama hari ini.

Svitolina yang pernah meraih tiga gelaran perseorangan WTA dan dua gelaran beregu itu mengakui akan membuat penampian lebih agresif walaupun dirinya bertandang buat kali pertama ke Malaysia dalam kejohanan ini.

"Ia amat berbeza di sini dan tidak ada tekanan untuk saya bermain hari ini.

"Selepas ini saya akan cuba bermain lebih agresif namun apa pun saya jangkakan siapa saja lawan saya selepas ini pasti akan berikan tentangan sengit," katanya yang pernah berada dalam musim terbaik tahun lalu untuk membolehkan dirinya bergelar pemain tenis wanita ke-15 terbaik dunia.

Untuk rekod, kejohanan memasuki edisi ketujuh Persatuan Tenis Wanita (WTA) kali ini menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$250,000 (RM1.06 juta). Ia membuka tirai semalam (Isnin) dan dijadualkan berakhir Ahad ini.

Keputusan: Pusingan pertama (Perseorangan)

Yang Zhaoxuan (CHN) mn Zheng Saisai (CHN) 4-6, 6-3, 6-2

Zhu Lin (CHN) mn Alexandra Panova (RUS) 6-4, 6-4

Risa Ozaki (JPN) mn Elizaveta Kulichkova (RUS) 6-0, 6-2

Miyu Kato (JPN) mn Elivina Svitolina (UKR) 6-1, 6-1

Zarina Diyas (KAZ) mn Annika Beck (GER) 7-5, 6-3

Naomi Broady (GBR) mn Klara Koukalova (CZE) 6-3, 3-6, 6-3

Berita Harian X