Isnin, 15 Februari 2016 | 7:37pm

Adam Norrodin buat penampilan pertama Moto3 di Sepanyol

Adam Norrodin
Adam Norrodin

KUALA LUMPUR: Muka baharu saingan Moto3, Adam Norrodin, memberi aksi meyakinkan untuk DRIVE M7 SIC Racing Team, ketika ujian pramusim dengan jentera Honda NSF250RW di Litar de la Comunitat Valenciana Ricardo Tormo di Valencia, Sepanyol.

Pengurus pasukan, Johan Stigefelt dalam kenyataannya berkata, Adam menampilkan sikap profesional dan cepat menyesuaikan diri dengan keadaan baharu di sekelilingnya.

"Adam masih muda dan dahagakan kejayaan. Dia mahu belajar dan kami sedia membimbingnya. Tugas kami adalah untuk menjadikannya pelumba yang lebih baik dan memberikannya pengalaman terbaik dalam langkah baharu kariernya.

"Kami mahu dia melakukan yang terbaik sejakdari mula. Saya sudah nampak sewaktu ujian pertama di Valencia, yang menunjukkan Adam mempunyai bakat.

"Dia bekerja keras, mahu mendengar pandangan kru pasukan dan menjalin kerjasama yang baik dengan rakan sepasukan...ini adalah kunci utama," kata Stigefelt.

Stigefelt berkata, Adam mempunyai minat serta keyakinan tinggi walaupun belum pernah berlumba di peringkat itu.

Adam, 17, akan menjalani dua hari lagi sesi latihan di Litar de Jerez, Sepanyol sebelum membuat penampilan sulungnya dalam saingan Moto3, yang akan bermula pada 20 Mac di Qatar.

Sementara itu, Adam berkata beliau gembira menunggang untuk pasukan DRIVE M7 SIC Racing Team dalam kategori Moto3 dan mengakui ia adalah satu langkah besar untuknya.

"Semua petugas pasukan ini begitu ramah dan saya cukup selesa bersama mereka. Banyak yang perlu saya pelajari tahun ini kerana semuanya baharu...motosikal, pasukan, kejohanan dan deretan litar yang belum pernah saya rasai sebelum ini.

"Tapi saya cukup positif menghadapi musim ini. Sasaran saya adalah untuk belajar sebanyak mungkin tahun ini bagi membina keyakinan diri," kata Adam.

- BERNAMA

Berita Harian X