Khamis, 11 Februari 2016 | 12:57pm

Dr Vida sedia taja Pak Wan jelajah Eropah

PENGAYUH solo warga emas, Wan Hashim Wan Mahmood, 71 (dua dari kanan)yang mengelilingi Semenanjung Malaysia, Singapura dan Thailand sempena Tahun Melawat Kelantan 2016 setibanya di Pejabat Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) Kelantan. Gambar kiri, Dr Vida. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
PENGAYUH solo warga emas, Wan Hashim Wan Mahmood, 71 (dua dari kanan)yang mengelilingi Semenanjung Malaysia, Singapura dan Thailand sempena Tahun Melawat Kelantan 2016 setibanya di Pejabat Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) Kelantan. Gambar kiri, Dr Vida. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

KOTA BHARU: Pengasas Vida Beauty Qu Puteh, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman akan mempertimbangkan permintaan warga emas, Wan Hashim Wan Mahmood, 70, yang mahu ditaja bagi meneruskan misi kayuhan solonya ke Eropah, tahun depan.

Hasmiza atau dikenali Dr Vida berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Wan Hashim terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.

Katanya, Wan Hashim atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Wan boleh mewakili warga tua yang sihat sesuai dengan produk utamanya iaitu Pamoga.

"Saya ada lihat perkembangan Pak Wan yang menamatkan tiga misi kayuhan di beberapa negara dan semangatnya sesuai dengan apa yang saya mahukan.

"Bagaimanapun, saya perlu mengadakan perbincangan dengan Pak Wan terlebih dahulu bagi mengetahui misinya kali ini secara terperinci. Saya perlu lihat kaedah yang boleh dibuat Pak Wan untuk turut membantu memasarkan produk syarikat Vida Beauty," katanya ketika dihubungi BH Sukan, semalam.

BH semalam melaporkan cuaca panas dan lebih lima kali basikal pancit selain mengayuh dalam keadaan hujan lebat, tidak mematahkan semangat Pak Wan menamatkan kayuhan sejauh 8,000 kilometer (km) di tiga negara.

Misi kali ketiga bersempena Tahun Melawat Kelantan 2016 itu di Semenanjung, Singapura dan Thailand itu, menjadikan warga tua itu sekali lagi melakar nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Bapa kepada enam anak itu sebelum ini melakar namanya dalam MBOR buat kali pertama selepas berjaya menamatkan kayuhan berbasikal secara solo mengelilingi Semenanjung sejauh 2,200 km dari 26 Januari hingga 28 Februari 2014.

Bagaimanapun, Pak Wan memerlukan dana kira-kira RM200,000 untuk merealisasikan sekali lagi hasratnya dalam melaksanakan misi kayuhan solo kali keempat di Eropah bermula tahun depan.

Katanya, beliau sanggup memakai pakaian merah jambu dan membawa produk Vida Beauty ketika penjelajahan itu sekiranya Dr Vida sedia untuk menajanya seberapa banyak yang mampu.

Mengulas lanjut, Dr Vida memandang positif hasrat Pak Wan yang sedia membawa produknya ke Eropah, sekali gus mampu menjadi model untuk memasarkan Pamoga lebih luas ke negara berkenaan.

"Apapun, biarlah perbincangan diadakan dulu supaya misi, tempat dan kemampuan Pak Wan diketahui dengan lebih terperinci," katanya.

Berita Harian X