Khamis, 4 Februari 2016 | 4:34pm

BSN suntik tajaan RM1.3j untuk LTdL

TIMBALAN CEO BSN, Frederick Siew menyerahkan tajaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2016 serta tajaan Ketua Eksekutif (CEO) LTdL, Emir Abdul Jalal (dua kiri) di Hotel Maya, hari ini. - Foto Saifullizan Tamadi
TIMBALAN CEO BSN, Frederick Siew menyerahkan tajaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2016 serta tajaan Ketua Eksekutif (CEO) LTdL, Emir Abdul Jalal (dua kiri) di Hotel Maya, hari ini. - Foto Saifullizan Tamadi

KUALA LUMPUR: Le Tour de Langkawi (LTdL) 2016 memperoleh suntikan tajaan RM1.3 juta daripada Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi penganjuran edisi ke-21 perlumbaan berbasikal elit itu, hari ini.

Penajaan turut menyaksikan pemakai jersi pecut pada perlumbaan berstatus 2.HC itu yang akan disarungkan jersi berwarna teal, warna korporat baharu bagi BSN yang juga warna baharu bagi perlumbaan berbasikal.

Ketua Eksekutif (CEO) LTdL, Emir Abdul Jalal berkata, pihaknya gembira dengan kehadiran BSN selaku penaja utama edisi kali ini.

"Kami mengalu-alukan kahadiran BSN dalam keluarga LTdL dan gembira dengan pengenalan warna baharu iaitu 'warna teal' dalam dunia perlumbaan berbasikal.

"Ini adalah warna baharu dalam dunia perlumbaan berbasikal. Ia warna yang cantik, gabungan warna hijau dan biru, warna yang sebelum ini digunakan bagi pemegang anugerah Raja Pecut," katanya pada majlis penajaan itu, hari ini.

Sementara itu, Timbalan CEO BSN, Frederick Siew berkata pihaknya cukup berbangga menjadi sebahagian daripada perlumbaan berbasikal yang memiliki sejarah hebat itu.

LTdL 2016 bermula 24 Februari dan berakhir pada 2 Mac depan membabitkan lapan peringkat perlumbaan sejauh 1,100 kilometer.

Sebanyak 22 pasukan dijadualkan mengambil bahagian dengan tiga daripadanya adalah pasukan berstatus Pro Tour iaitu Astana Pro Team, Tinkoff dan Dimension Data untuk perlumbaan yang bermula dari Kangar dan berakhir di Melaka itu.

Beberapa nama baharu dalam pasukan pro benua pula ialah One Pro Cycling, Roth dan Funvic-Soul-Carrefour mewakili Amerika Selatan; Unitedhealthcare (Amerika Utara); Drapac (Oceania); Skydive Dubai (Timur tengah); Androni, Southeast dan Bardiani (Itali); Astana dan Tinkoff (Rusia) serta Asia yang diwakili 11 pasukan.Malaysia pula akan diwakili tiga pasukan iaitu Terengganu Cycling Team (TSG), pasukan kebangsaan Malaysia dan pasukan dari Majlis Sukan Negara.

Berita Harian X