Ahad, 31 Januari 2016 | 12:45pm

Terbuka Australia: Pertembungan Djokovic, Murray petang ini

NOVAK Djokovic dan Andy Murray. - Foto EPA
NOVAK Djokovic dan Andy Murray. - Foto EPA

MELBOURNE: Novak Djokovic akan mensasarkan untuk menyamai rekod gelaran Terbuka Australia dan tampak akan meneruskan penguasaan dalam tenis lelaki ketika berdepan Andy Murray pada final jam 4.30 petang ini.

Pemain nombor satu dunia dari Serbia itu yang juga juara bertahan adalah pilihan utama dalam saingan final kelima berturut-turut Grand Slam selepas menewaskan Murray untuk meraih gelaran tiga kali di Melbourne Park.

Sekiranya Djokovic menang sekali lagi, dia akan mengumpul Grand Slam ke-11 dan menyamai catatan Rod Laver dan Bjorn Borg dalam senarai pemain - dan semakin mendekati rekod 17 gelaran Roger Federer.

Dia juga akan menyamai catatan pemain Australia, Roy Emerson, yang menang kejohanan itu enam kali antara 1961 dan 1967, pencapaian yang tidak dapat ditandingi sejak 49 tahun lalu.

"Bertarung untuk trofi Grand Slam ialah kemuncak dalam sukan kami. Ini ialah tempat sebenar anda mahu berada," kata Djokovic.

"Anda bekerja keras untuk meletakkan diri anda di posisi itu. Sudah tentu jika saya boleh mencipta sejarah ia akan menjadi galakan tambahan dan insentif kepada saya untuk beraksi lebih baik.

"Jika anda mahu menang gelaran Grand Slam dan menjadi yang terbaik di dunia, anda perlu menang berdepan pemain terbaik di dunia. Saya akan bersedia menghadapinya." - Agensi

Berita Harian X