Sabtu, 30 Januari 2016 | 2:52pm

Fatehah sambar perak acara keirin ACC

FATEHAH rangkul perak dalam acara keirin di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Velodrom Izu, Jepun hari ini.
FATEHAH rangkul perak dalam acara keirin di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Velodrom Izu, Jepun hari ini.

KUALA LUMPUR: Pelumba trek wanita negara, Fatehah Mustapa berjaya menghadiahkan pingat perak buat negara dalam acara keirin di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Velodrom Izu, Jepun hari ini.

Pelumba berasal dari Hulu Terengganu itu dilihat mengungguli saingan sejak pusingan pertama lagi sebelum menempah tempat ke final, sekali gus mencerahkan lagi peluangnya merebut tiket ke Sukan Olimpik Rio.

Di final yang menyaksikan tiga pelumba China turut mara, Fatehah yang pada mulanya agak ketinggalan mempamerkan kehebatan kayuhannya untuk mengakhiri perlumbaan di tempat kedua di belakang pemenang pingat emas Sukan Asia 2014 di Incheon, Lee Wai Sze dari Hong Kong. Tempat ketiga dimenangi pelumba Korea Selatan, Lee Hyejin.

"Alhamdulillah, terima kasih kepadamu Ya Allah atas rezeki ini. Syukur yang tak terhingga atas pingat perak hari ini.

"Terima kasih kepada penaja utama saya Yayasan Sime Darby atas sokongan yang tak putus selama tujuh tahun," katanya dalam laman sosial Facebook.

Sementara itu, jaguh trek negara, Azizulhasni Awang yang memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri ketika pusingan kelayakan acara pecut semalam, terlepas peluang untuk merebut pingat emas apabila tewas kepada pelumba Korea Selatan, Im Chaebin ketika separuh akhir hari ini.

Azizulhasni sekali lagi akan bertarung dalam penentuan pingat gangsa menentang pelumba China, Bao Saifei yang turut berlangsung hari ini.

Berita Harian X