Jumaat, 22 Januari 2016 | 11:36am

Terbuka Australia: Djokovic, Seppi berentap petang ini

MELBOURNE: Pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic berdepan saingan paling sengit di Terbuka Australia apabila dijadual berdepan Andreas Seppi dari Itali, jam 4 petang ini.

Seppi adalah pemain yang pernah menyingkirkan Roger Federer di peringkat sama, tahun lalu.

Pemain dari Serbia yang sedang memburu gelaran ke-11 Grand Slam itu jelas bimbang dengan ancaman daripada pemain pilihan ke-28 berkenaan.

"Dia pernah mencatat kemenangan ke atas (Roger) Federer di pusingan ketiga tahun lalu. Saya fikir dia layak untuk digeruni apalagi dengan jumlah tahun yang dia kekal berada di kelompok 30 terbaik," kata juara lima kali di Melbourne Park itu.

"Perlawanan akan menjadi sukar buat saya. Saya perlu bersedia untuk permainan rali. Ia akan menjadi perlawanan fizikal.

"Apapun, dengan corak perlawanan saya sebelum ini, saya mempunyai keyakinan penuh dalam perlawanan yang saya sertai."

Sementara itu, Federer berharap dapat melupakan kejutan kekalahan di tangan Seppi tahun lalu apabila dia dijadual berdepan pemain dari Bulgaria, Grigor Dimitrov di pusingan ketiga, hari ini.

"Satu undian yang sukar. Dia mempunyai corak permainan yang sangat merbahaya," kata juara 17 kali Grand Slam itu.

"Dia juga berada di tahap terbaik dan sudah pasti saya perlu bermain yang terbaik di gelanggang nanti." - AFP

Berita Harian X