Isnin, 18 Januari 2016 | 8:54am

AirAsia Thailand taja JDT?

bhsukan@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Syarikat korporat Thailand manakah yang berminat menaja Johor Darul Ta'zim (JDT)?

Persoalan itu melingkari minda bukan sahaja penyokong Harimau Selatan tetapi juga rakyat Malaysia selepas Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Datuk Ismail Karim mengumumkan syarikat terkenal negara jiran itu berminat menaja juara Liga Super dan Piala AFC itu.

Bagaimanapun, berdasarkan kajian BH Sukan, kemungkinan syarikat yang berminat menaja skuad kendalian Mario Gomez itu ialah syarikat penerbangan AirAsia Thailand yang terkenal dengan penajaan dalam bola sepak peringkat serantau serta antarabangsa.

Lagipun, AirAsia Thailand kini adalah antara penaja kelab Liga Perdana Inggeris, Leicester City dan Queens Park Rangers.

Banyak pasukan dalam Liga Thailand turut menerima penajaan syarikat berkenaan seperti Buriram United, SCG Muangthong United, Chonburi FC, Osotspa Samut Prakan, BEC Tero Sasana, Chainat, Sisaket dan Air Force Central.

Syarikat itu juga sudah memulakan operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan menjadi satu-satunya syarikat penerbangan memiliki penerbangan secara terus dari Bangkok ke Johor Bahru.

JDT juga semalam mengadakan perlawanan pra musim menentang pasukan Thailand, Chonburi FC yang juga satu daripada kelab bola sepak di negara itu yang mendapat penajaan daripada AirAsia Thailand.

Terdahulu, Ismail berkata JDT bakal menjadi jenama global, sekali gus melangkah setapak lagi ke peringkat antarabangsa selepas berjaya menarik minat tajaan daripada sebuah syarikat terkenal di Thailand.

Perkhabaran itu diumumkan menerusi akaun rasmi Facebook skuad Harimau Selatan iaitu Johor Southern Tigers (JST).

"Kita mendapat maklumat ada syarikat korporat besar yang beroperasi di negeri itu yang mahu menaja pasukan kita. Saya dimaklumkan, syarikat korporat itu turut menaja beberapa pasukan yang beraksi di Eropah," katanya.

Ismail berkata, rundingan antara JDT dan syarikat korporat itu sedang giat dijalankan.

Katanya, sebarang keputusan akan dimaklumkan kepada semua penyokong setia skuad Harimau Selatan itu.

Berita Harian X