Ahad, 17 Januari 2016 | 10:05pm

UTP juara keseluruhan Kejohanan MASISWA 2016

NAIB Canselor UNITEN, Prof Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha (empat, kanan) menyampaikan hadiah juara pertandingan kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTP, Mohamed Noor Rosli Baharom (tiga, kiri) pada majlis penutup Kejohanan Networking Games MASISWA 2016 hari ini. - Foto BERNAMA

IPOH: Universiti Teknologi Petronas (UTP) muncul juara keseluruhan Kejohanan Sukan Majlis Sukan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (MASISWA) 2016 yang berakhir di sini, hari ini.

UTP yang juga tuan rumah kejohanan itu, meraih lima pingat emas, lima pingat perak dan satu gangsa, sekali gus mengatasi 36 institusi pendidikan lain yang mengambil bahagian dalam kejohanan edisi keempat itu.

Kejohanan tiga hari itu disertai 2,000 peserta dan mempertandingkan tujuh acara sukan iaitu badminton, bola jaring, bola tampar, sepak takraw, tempin boling, ping pong serta futsal.

Hadiah disampaikan oleh Presiden MASISWA, Prof Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha yang juga Naib Canselor Universiti Teknologi Nasional (UNITEN).

Terdahulu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTP, Mohamed Noor Rosli Baharom berkata penganjuran MASISWA bertujuan mengeratkan silaturahim serta memupuk persefahaman dan perpaduan dalam kalangan kakitangan dan pelajar.

"Kejohanan tersebut juga diharap menggalakkan gaya hidup sihat, aktif dan cemerlang dalam kalangan pelajar serta kakitangan IPTS terbabit," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X