Sabtu, 16 Januari 2016 | 10:45pm

Spurs benam Sunderland di White Hart Lane

PEMAIN Tottenham, Christian Eriksen membuat jaringan dalam perlawanan menentang Sunderland di White Hart Lane, sebentar tadi. - Foto Reuters
PEMAIN Tottenham, Christian Eriksen membuat jaringan dalam perlawanan menentang Sunderland di White Hart Lane, sebentar tadi. - Foto Reuters

LONDON: Dua jaringan Christian Eriksen membantu Tottenham Hotspur membenam Sunderland 4-1 pada saingan Liga Perdana Inggeris di White Hart Lane, sebentar tadi.

Tottenham melakukan tiga perubahan terhadap kesebelasan utama mereka yang tewas kepada Leicester sebelum ini dengan memasukkan dua pertahanan, Kyle Walker dan Ben Davies menggantikan Kieran Trippier dan Danny Rose manakala Mousa Dembele menggantikan pemain tengah Tom Carroll.

Skuad kendalian Mauricio Pochettino bagaimanapun buntu mencari gol pembukaan sepanjang lebih 40 minit permainan walaupun mengatur banyak gerakan ke kubu pelawat.

Sebaliknya pelawat yang jarang mendapat peluang menjaringkan gol pertama menerusi Patrick van Aanholt hasil serangan balas pantas pada minit ke-40 ketika barisan serangan Spurs cuba memecahkan bentang kebal mereka.

Ia bagaimanapun tidak mematahkan semangat Spurs apabila kembali mengatur gerak dan memperoleh gol penyamaan menerusi Eriksen dua minit kemudian apabila sepakannya gagal diselamatkan pertahanan Sunderland di atas garisan gol.

Mousa Dembele menceriakan tuan rumah apabila menjaringkan gol kedua Spurs menerusi rembatan kaki kiri menarik dari dalam kotak penalti pada minit ke-60.

Tujuh minit kemudian, Eriksen kembali menemui jaringan apabila dia yang tidak dicabar melepaskan sepakan kencang sebelum terkena pertahanan lawan dan menerjah gawang.

Harry Kane mengesahkan kemenangan skuad dari utara London itu berbaki 12 minit permainan apabila menjaringkan penalti selepas pertahanan Sunderland mengasari Alli. - AGENSI

Berita Harian X