Jumaat, 15 Januari 2016 | 8:37am

Chile cari jurulatih baharu ganti Sampaoli

BEKAS jurulatih Chile, Jorge Sampaoli bercakap pada sidang akhbar di Santiago, Chile. - Foto AFP
BEKAS jurulatih Chile, Jorge Sampaoli bercakap pada sidang akhbar di Santiago, Chile. - Foto AFP

SANTIAGO: Juara Copa America, Chile sedang mencari jurulatih baharu selepas persekutuan bola sepak negara itu itu menamatkan perbincangan dengan Jorge Sampaoli, umum pegawai pasukan itu.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Chile (ANFP), Gaspar Goycoolea berkata selepas empat pertemuan, badan bola sepak itu merasakan "ia adalah mustahil untuk mencapai persetujuan bersama" dengan pengurus dari Argentina itu.

"Malangnya tiada kemungkinan yang perkara ini akan memperoleh kemajuan, dengan mengambil kira Jorge Sampaoli sudah menyatakan kepada umum yang dia akan meninggalkan kapal ini," katanya.

Sampaoli memberi gambaran bercampur-campur tentang masa depannya sebagai jurulatih La Roja pada minggu ini.

Pada Isnin lalu, dia dilaporkan di media tempatan yang mengaitkan dirinya dengan kes mengelak cukai dan mempunyai akaun bank di luar negara.

"Dalam keadaan ini, saya lagi tidak mahu bekerja atau tinggal di negara ini," kata Sampaoli kepada laman web Chile, Faro Deportivo.

Dia mendakwa dirinya menjadi "tebusan" dalam kontraknya sendiri yang mengenakan klausa AS$6 juta (RM26.29 juta) jika meninggalkan pasukan itu.

Sampaoli, yang masih mempunyai kontrak sehingga 2018 berkata adalah mustahil baginya untuk membayar jumlah itu.

Kemudian pada Rabu lalu, dia kembali dalam sidang media memberitahu: "Adalah tidak benar yang saya tidak mahu tinggal atau bekerja di Chile. Sebaliknya saya mahu menghapuskan salah faham ini," katanya.

"Saya tinggal di sini selama tujuh tahun dan menyimpan beberapa memori yang tidak dapat dilupakan." - AFP

Berita Harian X