Selasa, 12 Januari 2016 | 12:40pm

Dana RM50j bakal kukuh, kembangkan JDT

PRESIDEN KPBJDT, Azman A. Jalil. - Foto Redzuan Muharam
PRESIDEN KPBJDT, Azman A. Jalil. - Foto Redzuan Muharam

JOHOR BAHRU: Penyokong pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) menyifatkan sumbangan sebanyak RM50 juta oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar kepada skuad Harimau Selatan bakal mengukuhkan lagi kedudukan dan perkembangan pasukan berkenaan.

Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (KPBJDT), Azman Jalil berkata Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sudah pasti mempunyai perancangan strategik bagi skuad itu dan pembangunan akar umbinya.

Katanya, Tunku Mahkota Johor itu juga sudah pasti mahu JDT diurus secara berhemah untuk menjamin masa depan kelab berkenaan untuk tempoh jangka masa panjang.

"Kami mengalu-alukan pendekatan Tunku Ismail yang lebih bersikap tidak mahu ada pembaziran, malah apa yang dilakukan oleh baginda ketika ini adalah bagi memastikan sukan bola sepak sentiasa dipertingkatkan.

"Kita lihat sendiri betapa Tunku Ismail bukan saja memberi tumpuan kepada JDT tetapi pembangunan akar umbi juga diutamakan selain penambahbaikan infrastruktur," katanya.

Kelmarin, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan sumbangan sebanyak RM50 juta selepas gembira melihat sukan bola sepak memainkan peranan yang penting dalam menyatupadukan Bangsa Johor dan mengharumkan nama negeri itu di persada dunia.

Mengulas lanjut, Azman berkata kesungguhan Tunku Ismail yang bertungkus lumus untuk menaikkan bola sepak Johor perlu disokong oleh setiap peminat dan berharap pada saingan Liga Malaysia musim ini, kehadiran penyokong pada setiap perlawanan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, nanti sentiasa penuh.

"Jika kita sayangkan JDT tidak salah untuk hadir ke stadium dalam setiap perlawanan Liga Super dan memberi sokongan kepada pemain serta memenuhi ruang tempat duduk," katanya.

Berita Harian X