Selasa, 29 Disember 2015 | 4:31pm

Figueroa puji kepemimpinan JDT

BEKAS penyerang JDT, Luciano Figueroa. - Foto Osman Adnan
BEKAS penyerang JDT, Luciano Figueroa. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Kejayaan dilakar Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak bersandarkan betapa banyak wang yang dilaburkan semata-mata, malah dicetuskan oleh kredibiliti pemimpinnya, kata bekas penyerang kelab itu, Luciano Figueroa.

Figueroa yang tidak lagi bersama JDT musim depan dalam laman Facebook rasmi pasukan itu, JOHOR Southern Tigers berkata, tanpa Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, pasukan itu mungkin tidak memenangi sebarang kejuaraan.

Memetik petikannya dalam laman terbabit, Figueroa berkata: "Anda boleh memiliki pemain yang sama, belanjawan yang sama, tetapi jika bos (DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim) tiada dalam organisasi, saya tidak fikir kita mampu menang apa-apa.

"Sokongan dan bimbingan yang baginda berikan kepada organisasi, jurulatih, saya sendiri dan pemain lain memang luar biasa," kata pemain kelahiran Santa Fe, Argentina itu.

Mula menyarung jersi JDT pada 2014, bekas pemain Villarreal itu mencipta nama antara pemain import terbaik pernah dimiliki pasukan itu, termasuk ketika memenangi Piala AFC, Oktober lalu.

Justeru, katanya, andai peminat mahu melihat pasukan itu melakar kejayaan lebih membanggakan, mereka perlu meneruskan kepercayaannya terhadap Tunku Ismail.

"Jika penyokong mahu melihat JDT berjaya, mudah saja, percaya kepada bos (TMJ). Dia tahu apa yang dilakukan. Saya fikir tiada yang mempunyai visi, pengetahuan dan minat mendalam tentang bola sepak di negara ini seperti TMJ," katanya.

JDT tahun ini merakam kejayaan membanggakan apabila mengekalkan kejuaraan Liga Super untuk dua tahun berturut-turut, kejuaraan di peringkat Asia, Piala AFC dan Piala Sultan Ahmad Shah dengan memenangi perlawanan sumbangsih.

Berita Harian X