Khamis, 24 Disember 2015 | 9:07am

Kompany kembali untuk tamatkan aksi hambar City

KAPTEN Manchester City, Vincent Kompany . - Foto AFP
KAPTEN Manchester City, Vincent Kompany . - Foto AFP

LONDON: Kapten Manchester City, Vincent Kompany kemungkinan besar akan kembali beraksi pada pertemuan dengan Sunderland dalam saingan Liga Perdana Inggeris, Sabtu ini selepas berehat selama enam minggu susulan masalah kecederaan.

Dalam lapan perlawanan pertama liga, pemain antarabangsa Belgium itu berada dalam kesebelasan utama City yang menyaksikan kelab berkenaan dibolosi satu gol.

Bagaimanapun, mereka dibolosi sebanyak 18 gol dalam sembilan perlawanan tanpa kelibat tonggak pertahanan tengah berpengaruh itu yang terpaksa diketepikan kerana kecederaan betis.

"Kecederaan dialaminya semakin baik - kami akan mempunyai skuad yang lengkap kecuali Samir Nasri. Pablo Zabaleta, Fernando dan Vincent Kompany akan bersama skuad seperti biasa," kata pengurus City, Manuel Pellegrini.

"Kamu akan sentiasa kehilangan pemain yang bagus, dia adalah kapten di sini dan jika dia tidak bermain kami kehilangan pemain penting dalam skuad.

"Salah satu perkara penting dalam pasukan ini adalah untuk berada dalam semua saingan, tidak hanya bergantung kepada seorang pemain.

"Kita akan lihat kesebelasan utama yang akan diturunkan Sabtu ini. Kami akan melihat perkembangan David (Silva), Kun (Sergio Aguero), Vincent dan Pablo sebelum perlawanan itu. Saya masih belum membuat keputusan mengenai kesebelasan utama lagi".

Selepas tewas 1-2 kepada Arsenal Selasa lalu, City kini dalam misi menamatkan aksi hambar mereka apabila bertemu Sunderland.

Anak buah Pellegrini tewas tiga daripada lima perlawanan terakhir liga. - Reuters

Berita Harian X