Ahad, 20 Disember 2015 | 11:26am

De Jong wira PSV benam PEC

PENYERANG PSV Eindhoven, Luuk De Jong.
PENYERANG PSV Eindhoven, Luuk De Jong.

AMSTERDAM: Penyerang PSV Eindhoven, Luuk De Jong, meneruskan prestasi cemerlang apabila jaringan peribadi ke-14 musim ini membantu pasukannya mengatasi PEC Zwolle, 3-2.

Keputusan itu, sekali gus membolehkan penyandang juara liga itu berkongsi kedudukan selaku pendahulu bersama Ajax Amsterdam.

De Jong muncul wira selepas menanduk masuk kemenangan buat PSV pada minit ke-75 selepas PEC bangkit dengan dua gol menerusi Bram van Polen dan Lars Veldwijk untuk memadam kelebihan dua gol yang dijaringkan Gaston Pereiro.

Pemain pertahanan, Gino Bosz menjaringkan gol kemenangan buat Heracles menerusi sepakan percuma pada minit akhir perlawanan untuk menundukkan Groningen dengan keputusan 2-1.

Bryan Linssen membuka jaringan buat Groningen namun kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Paul Gladon menyamakan kedudukan seminit kemudian,

Sepakan penalti pada masa tambahan pula membolehkan AZ Alkmaar mengikat kedudukan 2-2 menentang Utrecht.

Gol Mattias Johansson meletakkan AZ di hadapan pada minit ke-27, namun jaringan yang dilakukan Robert Muhren untuk gol kedua mereka tidak dikira.

Sebaliknya, Utrecht meledak dua gol dalam tempoh tiga minit menerusi Ruud Boymans yang kembali daripada kecederaan selepas diketepikan selama setahun dan Sebastien Haller namun mereka menghadiahkan sepakan penalti pada masa tambahan yang berjaya disempurnakan Gouweleeuw menjadikan kedudukan 2-2.

- Reuters

Berita Harian X