Khamis, 17 Disember 2015 | 7:15am
Tunku Ismail Sultan Ibrahim
Tunku Ismail Sultan Ibrahim

JDT batal hasrat ikat bintang San Lorenzo

JOHOR BAHRU: Tidak ada masalah seandainya Johor Darul Ta'zim (JDT) hanya menggunakan khidmat tiga pemain import bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) yang bermula Februari ini.

Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan perancangan untuk mendapatkan khidmat penyerang kelab San Lorenzo, Martin Cauteruccio terpaksa dibatalkan selepas yuran perpindahan yang dikenakan oleh kelab berkenaan terlalu tinggi.

"Yuran perpindahan yang diminta oleh kelab San Lorenzo untuk kita mendapatkan khidmat Cauteruccio mencecah USD4 juta (RM17 juta). Kita tidak mampu malah kita juga harus bersikap berhemah untuk berbelanja pada musim depan.

"Buat masa ini saya boleh mengesahkan Hariss Harun, Marcos Antonio dan Jorge Pereyra Diaz adalah tiga tenaga import yang sudah sah bersama JDT. Kita sedang berusaha mendapatkan seorang lagi pemain untuk menggantikan Luciano Figueroa.

"Kita juga cuba mendapatkan pemain import yang beraksi di Perancis, namun pemain itu juga terlalu mahal. Jika masih tiada pemain import untuk menggantikan Figueroa, kemungkinan kita akan beraksi dengan tiga pemain import sedia ada," katanya.

Tunku Ismail juga mengesahkan penjaga gol JDT, Muhammad Al-Hafiz Hamzah akan bersama Johor Darul Ta'zim II (JDT II) pada saingan Liga Perdana manakala Daudsu Jamaluddin tidak akan bersama skuad JDT pada musim depan.

Katanya, khabar angin yang menyatakan Farizal Marlias bakal menyertai Pahang adalah tidak benar sebaliknya hampir semua pemain JDT dikekalkan.

Pemain akan memulakan latihan bermula 6 Januari ini dan akan ada beberapa perlawanan persahabatan di tempat sendiri sebelum mengadakan latihan pra musim selama dua minggu di Thailand.

"Antara kelab di Thailand yang kita akan adakan aksi persahabatan kemungkinan Chonburi FC, namun ia masih dalam perbincangan. Kita tidak mahu membazir dengan menghantar pasukan pergi jauh-jauh macam tahun sebelum ini," kata Tunku Ismail.

Berita Harian X